fbpx

Jangan ‘peram’ bakat besar Fakrul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAKRUL (tengah) memecahkan rekod 400m lari berpagar kebangsaan pada Kejohanan Olahraga Asia B20 di Yecheon, Korea Selatan minggu lalu. - ASIAN ATHLETIC ASSOCIATION

KUALA LUMPUR – Permata baharu arena olahraga negara, Muhammad Fakrul Afizul Nasir mengimpikan peluang beraksi pada Kejohanan Olahraga Asia yang akan berlangsung di Pattaya, Thailand dari 12 hingga 16 Julai depan.

Fakrul, 19, mencipta sensasi apabila meleburkan rekod 400 meter (m) lari berpagar kebangsaan berusia 18 tahun, 51.28 saat (s) dilakukan Mohd. Shahadan Jamaluddin pada Sukan SEA Manila 2005.

Atlet dari Tanah Merah, Kelantan itu memahat kejayaan tersebut selepas merekodkan masa 0.02s lebih pantas iaitu 51.26s pada Kejohanan Olahraga Asia bawah 20 tahun (B20) di Yecheon, Korea Selatan pada 7 Jun lalu.

Justeru, pelajar Sekolah Sukan Malaysia Pahang itu berharap diberikan peluang beraksi dengan pelari-pelari handalan Asia dalam misi meningkatkan prestasinya agar berupaya memperbaharui lagi rekod kebangsaan tersebut.

“Saya terkejut apabila melihat catatan masa kerana tak sangka dapat pecahkan rekod kebangsaan. Ketika itu saya hanya fikir nak kejar pelari di hadapan saya, Alhamdulillah ini rezeki saya.

“Tak semua orang dapat peluang seperti ini, jadi saya gembira dapat manfaatkan sebaiknya. Sudah tentu saya tak boleh selesa kerana ini baru permulaan untuk saya terus mengorak langkah lebih jauh.

“Kalau dapat peluang ke ATF (Kejohanan Olahraga Asia) atau Sukan Asia, saya akan gunakan sebaiknya. Impian saya nak pertahankan lama rekod ini dan menyertai Sukan Olimpik jika ada rezeki pada masa depan,” katanya.

Jika dinilai keputusan pada Sukan SEA Kemboja lalu, catatan terbaik Fakrul itu meletakkannya berada pada kedudukan keempat di belakang tiga pemenang pingat.

Catatan itu juga mengatasi masa dilakukan pelari pecut Filipina, Eric Cray ketika meraih tempat ketujuh pada final Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.

Satu kerugian besar jika Kesatuan Olahraga Malaysia tidak mengambil risiko dengan memberikan Fakrul peluang pendedahan berentap dengan jaguh-jaguh Asia di Pattaya bulan depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI