BOGOTA, Colombia – Ibu kepada empat kanak-kanak yang terperangkap di hutan tebal Amazon selama enam minggu, bertahan hidup selama empat hari selepas pesawat mereka terhempas, lapor laman berita Wion News kelmarin.
Oleh kerana bimbang akan keselamatan anak-anaknya, wanita itu menyuruh mereka meninggalkannya dan terus berjalan untuk meningkatkan peluang diselamatkan.
Kisah menyayat hati itu diceritakan apabila lebih banyak maklumat tersebar mengenai ketahanan empat kanak-kanak tersebut.
Pada Ahad lalu, bapa kepada dua anak yang diselamatkan, Manuel Ranoque memberitahu bahawa isterinya, Magdalena Mucutuy terselamat dalam nahas itu, tetapi meninggal dunia empat hari kemudian akibat kecederaan.
“Anak perempuan saya memberitahu bahawa ibu mereka masih hidup selama empat hari.
“Sebelum meninggal, dia (Mucutuy) berkata, ‘Mungkin kamu harus pergi. Kamu akan melihat kebaikan bapamu dan mendapat kasih sama seperti yang saya tunjukkan kepada kamu,” katanya.
Empat kanak-kanak berusia 13 tahun, sembilan tahun, empat tahun dan 11 bulan itu dalam perjalanan dari perkampungan Amazon, Araracuara ke San Jose del Guaviare bersama ibu mereka apabila pesawat yang dinaiki terhempas kerana kegagalan enjin pada 1 Mei lalu.
Kanak-kanak daripada komuniti Orang Asli Huitoto itu ditemui oleh anjing pengesan selepas mereka menghabiskan lebih sebulan di dalam hutan di mana terdapat banyak binatang luas dan serangga seperti nyamuk. – Agensi