MANCHESTER – Penyerang Manchester City, Erling Haaland mengakui masih belum puas meskipun sudah membantu pasukan itu menjulang gelaran trebel pada musim ini selepas memenangi saingan Liga Juara-Juara kelmarin.
Justeru, dia melaungkan amaran awal kepada setiap pencabar bahawa The Citizens mahu mengulangi pencapaian tersebut walaupun sedar ia bukan perkara mudah memandangkan semua pasukan akan memperbaiki kelemahan masing-masing.
Haaland berkata, kejayaan diraih musim ini akan dilupakan dalam masa terdekat, sekali gus membuatkan dia bertekad membantu City mengulangi pencapaian itu pada musim depan.
“Walaupun dalam mimpi, tidak pernah saya terfikir perkara ini (trebel) berlaku kepada saya pada usia 22 tahun. Kejayaan saya membuktikan sesiapa sahaja boleh berjaya dan ia menjadi motivasi kepada anak-anak muda lain.
“Selepas beberapa hari, perasaan ini (juara) akan mula hilang, jadi saya mahu merasainya semula. Kami perlu ulangi pencapaian ini musim depan kerana ia akan dilupakan dalam beberapa bulan lagi,” katanya.
Pada masa sama, bintang antarabangsa Norway itu berharap dia boleh terus menjaringkan gol buat City walaupun gagal melakukannya ketika menewaskan Inter 1-0 pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Stadium Ataturk Olimpik, Istanbul, Turkiye kelmarin.
“Saya masih ada ruang untuk meningkat. Saya tidak kisah gagal ledak gol kerana pada hari terbaik, saya boleh menjaringkan sekurang-kurangnya dua gol, namun paling penting adalah kami dapat membawa pulang trofi,” ujar Haaland. – AGENSI