MELAKA – Empat scammer muda didakwa di Mahkamah Ayer Keroh di sini, hari ini atas atas pertuduhan merompak, mencederakan dan menyimpan video lucah seorang remaja lelaki yang juga pekerja mereka gara-gara mangsa enggan menjadi ahli sindiket itu, bulan lalu.
Tertuduh, Soh Sun Hung,20; Yap Kah Seng, 22, dan dua lagi remaja lelaki masing-masing berusia 17 dan 15 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh secara bersama-sama sebagai majikan kepada seorang remaja lelaki berusia 15 tahun telah menganiaya mangsa dengan cara mencederakan menggunakan tangan, kaki, tali dan sebatang besi.
Perbuatan itu dilakukan antara pukul 8 malam sehingga 1 pagi di sebuah rumah di Jalan Klebang Jaya, Taman Klebang Jaya dalam daerah Melaka Tengah pada 28 Mei lalu.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah kanun sama.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah melakukan rompak dan sengaja menyebabkan cedera kepada mangsa sama pada waktu, tarikh dan lokasi sama.
Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah kanun sama yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda dan sebat.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nur Nadia Mohamed Iqbal, manakala peguam Joel Chua yang mewakili keempat-empat tertuduh.
Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap tertuduh dan menetapkan tarikh 14 Julai sebagai sebutan semula kes.
Kesemua tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan di hadapan Majistret Nurul Asyikin Rosli atas kesalahan memiliki bahan-bahan lucah dalam telefon bimbit di Taman Jati Hang Tuah Jaya, pada 31 Mei lalu.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman sehingga tiga tahun penjara atau denda atau kedua-duanya di bawah Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasaruddin mencadangkan jaminan RM10,000 untuk setiap tertuduh, manakala kesemua tertuduh diwakili Joel.
Nurul Asyikin kemudiannya membenarkan jaminan RM3,500 bagi setiap tertuduh dan menetapkan sebutan semula kes pada tarikh sama iaitu 14 Julai depan.
Sebelum ini media melaporkan, seramai 11 scammer dalam talian berjaya diberkas pihak polis di Taman Cheng Perdana dekat sini pada 1 Jun lalu.
Kegiatan sindiket itu terbongkar susulan polis menerima aduan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun mendakwa dipukul dan disamun sekumpulan lelaki disyaki terbabit kegiatan penipuan dalam talian.
Mangsa kemudian dipaksa berbogel sebelum dirakam gambar serta dibelasah dengan kayu dan tali selepas dia enggan bekerja sebagai operator sindiket penipuan dalam talian itu. – KOSMO! ONLINE