fbpx

Dewan Rakyat: 150 warganegara China telah diusir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah merekodkan seramai 150 orang terdiri daripada warganegara China daripada 19,482 pendatang tanpa izin (PATI) telah diusir dari depot Imigresen di seluruh negara sehingga 28 Mei 2023.

Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Samsul Anuar Nasarah berkata, bagi tempoh 1 Januari 2023 hingga 1Jun 2023, JIM telah melaksanakan 3,552 operasi penguatkuasaan melibatkan tangkapan seramai 9,377 PATI daripada pelbagai negara dan daripada jumlah tersebut, seramai 92 orang (0.98 peratus) terdiri daripada warganegara China.

“Sehingga 28 Mei 2023, terdapat 11,309 orang tahanan di semua depot imigresen seluruh negara yang terdiri daripada 8,575 orang lelaki, 1,789 orang wanita, 526 orang kanak-kanak lelaki dan 419 orang kanak-kanak perempuan.

“Warganegara Myanmar merupakan tahanan paling ramai iaitu seramai 3,997 orang (35.3 peratus) diikuti oleh warganegara Filipina seramai 3,055 orang (27 peratus) dan warganegara Indonesia seramai 2,811 orang (24.9 peratus),” katanya semasa sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) yang ingin tahu apakah usaha kerajaan untuk mengesan warga China yang masuk ke Malaysia sebagai pelancong tapi tidak pulang ke negara asal sehingga sekarang.

Tambah Samsul Anuar, pelancong warganegara China yang diberikan Notis Penolakan Masuk (Not To Land – NTL) bagi tahun 2023 adalah seramai 809 orang daripada 400,988 orang.

Jumlah tersebut jelasnya, merupakan 0.20 peratus daripada keseluruhan pelancong warganegara China yang masuk ke Malaysia.

“Bagi memastikan usaha pengusiran dilaksanakan dengan cekap, dan isu kesesakan atau kepadatan di Depot Imigresen tidak berterusan, KDN melalui JIM mengambil tindakan secara konsisten seperti melaksanakan pemindahan banduan dari depot berkapasiti tinggi ke depot yang kurang berkapasiti tinggi.

“Antara usaha lain termasuk menggiatkan usaha pengusiran PATI ke negara asal dan mengadakan rundingan secara berkala dengan pihak Perwakilan Asing serta bekerjasama bagi mempercepatkan proses penghantaran pulang tahanan ke negara asal,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI