fbpx

Cuepacs kesal Selangor batal dasar pelantikan tetap kakitangan kontrak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adnan.

PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) kesal dengan tindakan kerajaan Selangor membatalkan dasar pelantikan tetap penjawat awam bertaraf kontrak yang telah berkhidmat lebih 15 tahun.

Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat berkata, keputusan drastik itu seakan-akan tidak menghargai langsung segala sumbangan kakitangan kontrak yang telah bertungkus lumus selama ini.

“Lebih mengecewakan, kerajaan Selangor turut memanjangkan pembatalan tersebut kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun negeri berkuat kuasa serta merta.

“Agak malang bagi penjawat awam di Selangor yang hanya diberi jawatan secara kontrak. Tiada langsung penghargaan yang diterima walau telah bertugas lebih daripada 15 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, kata Adnan, beliau berharap Menteri Besar Selangor mempertimbangkan semula keputusan itu kerana ia memberi gambaran bahawa kerajaan negeri tidak cakna terhadap kebajikan penjawat awam.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan juga digesa untuk menyerap pekerja Program jangka pendek (MySTEP) kepada kontrak berbanding terus menawarkan skim sama melebihi setahun.

“Sekiranya jawatan MySTEP ditawarkan untuk tempoh lebih daripada setahun, ia membawa maksud bahawa tugas tersebut perlu diisi dengan kakitangan kontrak.

“Namun, Cuepacs dimaklumkan terdapat jabatan kerajaan yang menggunakan kakitangan MySTEP untuk tugas yang sama lebih daripada setahun,” ujarnya.

Jelas Adnan, situasi itu menggambarkan kelemahan ketua jabatan dalam menilai keperluan perjawatan selain bersifat mengambil kesempatan ke atas pekerja MySTEP.

Ia kerana , katanya, pekerja MySTEP dibayar dengan gaji tanpa sebarang elaun tambahan dan tidak boleh membuat sebarang tuntutan walaupun dikerah sama seperti pekerja kontrak.

“Lebih malang, ada pekerja yang berada dalam skim kontrak ditukarkan pula kepada lantikan MySTEP,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI