fbpx

China paling banyak tambah senjata nuklear

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peluru berpandu balistik antara benua berkeupayaan nuklear DF-41 milik tentera China dipamerkan pada perarakan ketenteraan di Dataran Tiananmen, Beijing pada 30 September 2019. – AFP

STOCKHOLM, SWEDEN – Negara-negara kuasa nuklear terutamanya China menambah stok senjata nuklear tahun ini ketika ketegangan geopolitik semakin meruncing, kata sekumpulan penyelidik semalam.

Negara-negara berkenaan juga berterusan memodenkan keupayaan senjata pemusnah masing-masing.

“Kita menghampiri atau mungkin sudah memasuki fasa di mana pengecilan bilangan senjata nuklear berakhir,” kata Pengarah Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI), Dan Smith.

Bilangan bom nuklear milik sembilan negara kuasa nuklear dunia iaitu Britain, China, Perancis, India, Korea Utara, Pakistan, Russia dan Amerika Syarikat (AS) di samping Israel, berkurang kepada 12,512 pada awal 2023 daripada 12,710 dalam tempoh sama tahun lepas.

Namun, daripada jumlah itu, 9,576 bom nuklear sedia untuk digunakan, 86 lebih banyak berbanding 2022.

SIPRI membezakan antara stok senjata nuklear yang sedia untuk digunakan daripada stok lama dan senjata nuklear yang tamat tempoh.

“Stok simpanan adalah peledak nuklear yang boleh digunakan dan jumlah itu mulai meningkat,” kata Smith sambil menambah, angka tersebut bagaimanapun masih jauh berbeza berbanding lebih 70,000 bom boleh guna yang direkodkan dalam tahun 1980-an.

Peningkatan paling ketara disumbangkan oleh China. Beijing telah meningkatkan bilangan senjata nuklear miliknya daripada 350 kepada 410 peledak.

India, Pakistan dan Korea ­Utara turut menambah stok masing-masing, manakala Russia menambah senjata nuklear­nya pada kadar lebih kecil daripada 4,477 kepada 4,489 peledak.

Negara-negara kuasa nuklear lain pula mengekalkan saiz senjata pemusnah masing-masing. Dalam pada itu, Russia dan AS secara bersama masih membentuk hampir 90 peratus senjata nuklear yang ada di dunia.

“Bilangan senjata nuklear berkurangan sejak 30 tahun lalu, namun pengurangan itu kini ­berakhir,” ujar Smith.

Tambahnya, usaha diplomatik bagi kawalan senjata nuklear pula terjejas berikutan pencerobohan Ukraine oleh Russia.

Di samping itu, China membuat pelaburan besar dalam semua aspek ketenteraan ketika ekonomi dan pengaruh Beijing semakin kuat.

“China telah meningkatkan kedudukannya sebagai kuasa dunia. Ini ialah realiti semasa,” kata Smith. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI