GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan dua bot nelayan asing (BNA) serta lapan kru warga Indonesia selepas didapati menceroboh perairan negara kelmarin.
Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, mereka dikesan ketika pasukannya melakukan rondaan Op Pertiwi di kedudukan 51 kilometer dan 55 kilometer barat daya Pulau Kendi kira-kira pukul 10.13 pagi.
“Menurut pasukan rondaan, BNA pertama dikesan sedang leka melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan Malaysia.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, bot tersebut dikendalikan empat kru termasuk tekong warga Indonesia bersama hasil perikanan lebih kurang 400 kilogram,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, tangkapan kedua dilakukan oleh KM BURAU kira-kira pukul 10.30 pagi semalam.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, empat kru warga Indonesia termasuk tekong ditahan bersama hasil tangkapan ikan dianggarkan sebanyak 100 kilogram.
“Kesemua kru yang berada di kedua-dua bot berkenaan berumur lingkungan 13 hingga 20 tahun gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” jelasnya.
Beliau memberitahu, kedua-dua bot tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15 (1)(A) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di dalam perairan perikanan Malaysia tanpa permit yang sah dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu memasuki Malaysia tanpa memiliki pas yang sah.
“Kru, bot dan hasil tangkapan ikan campur sejumlah 500 kilogram ditahan dan dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung untuk tindakan lanjut,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE