KUALA TERENGGANU – Penduduk bandar raya ini teruja dengan fenomena awan berwarna pelangi yang berlaku semalam.
Fenomena alam dikenali sebagai ‘Iridescent Cloud’ yang jarang berlaku tersebut dapat dilihat di sekitar bandar raya ini terutama Durian Burung di sini antara pukul 5 petang hingga 6 petang.
Pengarah Meteorologi Terengganu, Rosli Zakaria berkata, fenomena awan pelangi itu bukanlah luar biasa walaupun amat jarang berlaku.
“Fenomena ‘Iridescent Cloud’ yang disebabkan awan melindungi cahaya matahari ini pernah terjadi di beberapa lokasi lain sebelum ini.
“Puncak awan tinggi yang mengandungi kristal ais telah membiaskan cahaya matahari menyebabkan warna pelangi dijelmakan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Sehubungan itu, Rosli menasihatkan orang ramai agar tidak mengaitkan fenomena awan pelangi tersebut dengan sebarang unsur khurafat.
Jelas beliau, tiada apa perlu dibimbangkan kerana ia fenomena biasa yang boleh dirakamkan sebagai kenang-kenangan dalam bentuk foto atau gambar. – KOSMO! ONLINE