ISTANBUL – Jaringan tunggal Rodri ketika membantu Manchester City julang trofi Liga Juara-Juara meletakkan nama Pep Guardiola sebaris dengan pengurus legenda, Sir Alex Ferguson yang menamatkan musim dengan kejuaraan trebel.
Malah, Guardiola juga muncul pengurus pertama yang meraih tiga piala semusim untuk kali kedua selepas melakukannya bersama Barcelona pada 2009 ketika muncul juara Liga Juara-Juara, Piala Raja Sepanyol dan La Liga.
“Menjadi satu penghargaan buat saya untuk berada sebaris dengan Sir Alex Ferguson. Saya turut menerima mesej daripadanya dan ia begitu menyentuh perasaan saya,” kata Guardiola.
Pada aksi di Stadium Olimpik Ataturk awal pagi semalam, City meraih kemenangan 1-0 untuk melengkapkan musim gemilang selepas muncul juara Liga Perdana Inggeris dan Piala FA.
Kini Guardiola sudah pun memenangi Liga Juara-Juara sebanyak tiga kali sebagai pengurus untuk berada di belakang Carlo Ancelotti yang merangkul empat kemenangan sebelum ini.
Bagaimanapun, pada perlawanan itu Inter Milan jelas memberikan kesukaran buat The Citizens, namun kelab Inggeris itu nyata lebih baik untuk menamatkan penantian pemiliknya, Sheikh Mansour sejak mula mengambil alih pasukan pada 2008.
Di sebalik pencapaian luar biasa yang diraih musim ini, Guardiola kekal merendah diri dan melabel kejayaan tersebut sebagai nasib yang menyebelahi City.
“Penat, tenang dan berpuas hati. Sangat sukar untuk memenangi piala ini. Inter bermain dengan cukup bagus dan saya katakan yang kami perlu bersabar kerana kami boleh menjadi pasukan yang lebih bertuah.
“Kami tidak berada pada tahap terbaik. Namun, selepas Piala Dunia, kami mengambil satu langkah ke depan. Ia sudah pun tertulis akan menjadi milik kami,” katanya.
Dalam perlawanan itu, City kehilangan perancang utamanya, Kevin De Bruyne ekoran kecederaan di babak pertama sambil peledak berbisa, Erling Haaland dirantai ketat oleh pertahanan lawan. – AGENSI