PETALING JAYA – Selepas menamatkan Kejohanan Badminton Terbuka Singapura di separuh akhir, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menggalas misi baharu pada Terbuka Indonesia yang bermula esok hingga Ahad depan.
Jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto percaya, kedua-dua pemain itu berada pada prestasi terbaik ketika ini apabila menampilkan aksi konsisten dalam setiap kejohanan disertai.
Bagaimanapun, beliau enggan meletakkan sasaran spesifik terhadap beregu No.21 dunia itu, sebaliknya mahu melihat anak-anak buahnya memberi fokus terhadap satu demi satu perlawanan dan mengutip mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.
“Bagi saya, keputusan di Terbuka Singapura adalah satu pencapaian yang baik dan berpeluang melangkah lebih jauh lagi sebenarnya. Namun, saya tidak mahu bebankan mereka dengan sasaran-sasaran tertentu pada Terbuka Indonesia.
“Apa yang paling penting adalah mereka melakukan persiapan terbaik dan cuba melangkah sejauh mungkin. Selain itu, kita juga perlu memberikan fokus mengutip mata kelayakan ke Sukan Olimpik nanti,” katanya.
Untuk rekod, Tang Jie-Ee Wei yang mula digandingkan November tahun lalu menampilkan aksi cukup konsisten musim ini apabila sudah meraih dua kejuaraan dengan memenangi Cabaran Antarabangsa (IC) Iran serta Orleans Masters.
Justeru, Nova melaungkan keyakinan bahawa beregu yang terkenal dengan julukan ‘gangster duo‘ itu memiliki potensi cukup besar untuk menjadi salah satu gandingan terbaik di dunia pada masa hadapan.
“Perkembangan mereka setakat ini sangat baik tetapi masih belum benar-benar konsisten. Apa yang positif adalah mereka sangat berbakat dan ada potensi untuk menjadi salah satu beregu terbaik dunia,” ujar pengendali dari Indonesia itu.
Pada pusingan pertama Terbuka Indonesia, Tang Jie-Ee Wei dijadualkan menentang beregu No.23 dunia dari Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito dan dijangka bertemu pilihan utama kejohanan, Zheng Siwei-Huang Yaqiong dari China di pusingan kedua. – KOSMO! ONLINE