PARIS – Jaguh tenis Poland, Iga Swiatek meneruskan penguasaannya di gelanggang tanah liat selepas merangkul mahkota kemenangan pada Terbuka Perancis buat kali ketiga dalam tempoh empat tahun kelmarin.
Swiatek membuktikan dia adalah ‘ratu’ gelanggang tanah liat selepas berjaya mengatasi Karolina Muchova dengan keputusan 6-2, 5-7, 6-4 untuk merangkul gelaran Grand Slam keempatnya.
Sebagai rekod, Swiatek kini hanya kalah dua daripada 26 perlawanan Grand Slam sejak mengambil alih status sebagai pemain nombor satu dunia pada April tahun lalu.
Pemain berusia 22 tahun itu menjadi pemain wanita termuda memenangi trofi berturut-turut di Roland Garros sejak Monica Seles melakukannya untuk muncul juara pada edisi 1990-92.
“Pertama sekali tahniah kepada Muchova. Saya tahu ia akan menjadi perlawanan yang sukar. Saya melihat semua perlawanan Muchova dan dia bermain dengan baik, malah saya menghadapi kesukaran berdepannya.
“Bagaimanapun, fokus saya tidak terganggu dan saya hanya memberikan segala-galanya pada perlawanan tersebut. Sukar untuk saya gambarkan perasaan saya ketika ini kerana terdapat banyak kegembiraan.
“Saya tiba-tiba berasa letih selama tiga minggu ini. Perkara paling sukar anda hadapi adalah untuk mengekalkan fokus. Secara keseluruhan saya gembira dapat menamatkan cabaran gelanggang tanah liat dengan baik,” katanya.
Swiatek yang menjadi pemain wanita pertama berjaya mempertahankan gelaran perseorangan wanita di Roland Garros sejak Justine Henin melakukannya pada 2007.
Kemenangan ketiga Swiatek di Paris turut meletakkannya setanding dengan juara tiga kali kejohanan itu seperti Serena Williams, Seles dan Arantxa Sanchez Vicario.
– AGENSI