fbpx

Selangor kubu Kerajaan Perpaduan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika bersalaman dengan penjawat awam Selangor ketika hadir pada majlis amanat Perdana Menteri bersama penjawat awam di Shah Alam. - Foto oleh FARIZ RUSADIO / KOSMO!

SHAH ALAM – Penjawat awam Selangor perlu terus meningkatkan prestasi memandangkan negeri ini adalah kubu Kerajaan Perpaduan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini bukan sekadar menyokong bagi mengekalkan kerajaan yang ada sebaliknya mengetahui komitmen dalam menyelamatkan negeri dan negara kita.

“Bukan kerana saya jamin upah atau sentimen kabilah. Ini negeri mencatatkan pertumbuhan baik selain Sarawak. Kita harus pertahankan.

“Walaupun sudah baik, kita mahu prestasi lebih baik supaya hendak dijadikan contoh yang betul. Bukan contoh air selut (untuk) minum atau slogan-slogan sahaja,” katanya ketika berucap pada majlis amanat Perdana Menteri kepada penjawat awam Selangor di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Menurut Anwar, penjawat awam juga perlu terus membawa perubahan dengan idea dan pemikiran selain pendekatan bagi meningkatkan potensi diri yang cemerlang.

Tegas beliau, tidak boleh senang berpuas hati dan selesa dengan pencapaian negeri ini walaupun saban tahun mencatatkan sumbangan tertinggi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

berucap pada majlis amanat Perdana Menteri kepada penjawat awam Selangor di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. – Foto oleh FARIZ RUSADIO / KOSMO!

“Penjawat awam menjadi ejen penting dalam membawa perubahan sekaligus mencetuskan keyakinan rakyat terhadap pimpinan berdasarkan mutu perkhidmatan dan tidak mudah berpuas hati.

“Menteri Besar (Datuk Seri Amirudin Shari) bukan selalu berjumpa saya, kerana setiap kali itu saya akan cakap tidak puas hati dan arahkan untuk meningkatkan prestasi pentadbiran. Amirudin menunjukkan kesungguhan, prestasinya baik, sebagai abang saya sentiasa beri teguran,” ujarnya.

Dalam pada itu, Anwar menjelaskan kerajaan akan menumpukan pembinaan rumah penjawat awam baharu serta rosak bermula tahun hadapan selepas menyelesaikan isu tandas rosak serta kekurangan kemudahan asas di sekolah.

“Saya pergi ke Langkawi pun, rumah-rumah tentera teruk benar. Saya pergi ke Penjara Sungai Buloh, kawan-kawan saya tolong jaga saya duk rumah pun (rosak).

“Jadi sebab itu untuk tahun depan, kalau kita selesaikan masalah tandas (rosak) dan (kekurangan) kemudahan asas di sekolah, saya akan tumpu kepada rumah penjawat supaya elok. Ini termasuk rumah-rumah baharu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI