PUTRAJAYA – Semua jabatan kerajaan diminta untuk meneliti projek-projek yang diluluskan sebelum ini sama ada sedang berjalan mahupun belum dilaksanakan terutaman melibatkan projek berskala kecil berkepentingan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, supaya ketua-ketua jabatan melihat perkara itu pada minggu ini bagi mencari punca projek-projek berkenaan tertangguh atas alasan peruntukan tidak sampai atau ada diantaranya sudah ditugaskan ke jabatan lain.
Katanya, beliau sendiri akan mengadakan pertemuan bersama semua pegawai daerah untuk meminta mereka menjalankan tugas pelaksanaan itu termasuk penyaluran bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan e-Kasih supaya ia turut disegerakan.
“Saya ada bincang dengan Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi mengenai projek sekolah daif, klinik daif atau baiki tandas sekolah, ia tidak perlu dibebankan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) yang ada tanggungjawab lebih besar, ia boleh dipindahkan ke jabatan atau pejabat daerah.
“Projek besar itu penting seperti tebatan banjir, lebuh raya, tetapi projek-projek seperti tandas sekolah, parit tepi rumah, pagar masjid runtuh, semua itu bagi penduduk sangat penting termasuk penyaluran banturan STR dan e-Kasih itu saya bagi arahan disegerakan,” katanya ketika berucap pada perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri bulan Jun, di sini hari ini.
Anwar berkata, peranan jentera kerajaan di peringkat bawah juga sangat penting supaya permasalahan rakyat dapat ditangani dengan segera oleh kerajaan.
“Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof terima rungutan masih ada masalah mengenai bekalan gula dan minyak masak di Baling, Kedah. Hal-hal seperti itu kadang-kadang maklumat kita dapat di peringkat tinggi tak sama di bawah.
“Apabila disampaikan begitu oleh TPM maknanya harus ada jentera kerajaan di bawah disampaikan kepada kementerian berkenaan supaya hal ini ditangani dengan baik,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE