fbpx

Sarawak setuju ganti rumput Zeon Zoysia 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HANNAH menjelaskan Sarawak sudah bersetuju menggantikan rumput baharu jenis Zeon Zoysia tidak lama lagi. - HANNAH YEOH

PUTRAJAYA – Sarawak mengambil peluang keemasan yang ditawarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) apabila bersetuju menggantikan rumput baharu jenis Zeon Zoysia tidak lama lagi. 

Bagaimanapun, kerajaan Sarawak masih belum memutuskan stadium yang bakal menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia tersebut kerana mahu melihat kesesuaian penanaman rumput jenis berkenaan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, setakat ini hanya Sarawak bersetuju manakala tiga negeri iaitu Terengganu, Wilayah Persekutuan dan Pahang sudah menyatakan pendirian tidak bersetuju untuk menukar rumput jenis berkenaan di stadium masing-masing.

“Ada beberapa negeri tak bersetuju untuk melaksanakan kerana mereka mempunyai stadium sendiri yang sudah menggunakan rumput sedia ada. Yang tak bersetuju adalah Terengganu, Wilayah Persekutuan dan Pahang, manakala yang bersetuju adalah Sarawak.

“Sabah, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Perlis, Melaka, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan meminta supaya mereka mempunyai lebih banyak masa untuk mengkaji kesesuaian penanaman rumput Zeon Zoysia di negeri masing-masing.

“Mereka nak lihat dulu hasil (penanaman rumput Zeon Zoysia) di Stadium Nasional Bukit Jalil kerana ada beberapa faktor yang mereka perlu pertimbangkan seperti menaik taraf sistem saliran di stadium negeri berkenaan.

“Untuk sekarang, kita akan bermula dengan Sarawak dulu dalam senarai ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (Sukma) dan Pelarasan Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri di Menara KBS hari ini.

Tambah Hannah, negeri-negeri yang masih belum membuat ketetapan penukaran mahu melihat pemasangan rumput di Bukit Jalil terlebih dahulu.

“Ada banyak syarat yang perlu kerajaan negeri buat. Itulah sebabnya ada negeri yang memohon penangguhan kerana mereka mahu melihat pemasangan rumput di Bukit Jalil terlebih dahulu.

“Apabila ia siap pada September atau Oktober tahun ini, negeri-negeri berkenaan mahu melihat hasilnya sama ada ia baik atau tidak,” katanya.

KBS sebelum ini menawarkan dana geran padanan kepada semua Exco Belia dan Sukan Negeri bagi menaik taraf padang stadium bola sepak dengan penanaman rumput jenis Zeon Zoysia yang turut digunakan di Stadium Sultan Ismail, Johor Bahru. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI