HANOI, Vietnam – Kemahiran berbahasa Inggeris peserta ratu cantik Vietnam, Dang Thanh Ngan mencetuskan perdebatan dalam kalangan rakyat negara itu semasa dia ditanya soalan oleh pengacara pertandingan Miss Supranational 2023, Ivan Padrez, lapor portal berita VnExpress hari ini.
Ngan ditemu bual Padrez melalui aplikasi Supra Chat. Dia kini melakukan persiapan untuk menyertai pusingan akhir pertandingan itu di Malopolska, Poland pada 14 Julai ini.
Ketika peserta dari India, Malaysia dan Thailand memberikan persembahan yang meyakinkan, Ngan tidak dapat mengekalkan postur tenang dan bergelut untuk melengkapkan pengenalan diri dalam bahasa Inggeris.
Apabila ditanya apa yang dikehendakinya dalam tempoh lima tahun lalu, ratu cantik Vietnam itu terpaksa meminta bantuan jurubahasa dan menjawab dalam bahasa negaranya.
Selepas menonton persembahan Ngan, ramai penonton kecewa kerana kemahiran bahasa Inggerisnya sangat terhad dan jawapan yang diberikan tidak tepat.
Malah ada yang membandingkannya dengan peserta Vietnam edisi Miss Supranational sebelum ini.
“Saya mengharapkan persembahan yang mengagumkan tetapi yang saya hanya boleh ketawa melihat dia bertutur dalam bahasa Inggeris,” komen seorang netizen, Ngo Hai.
Seorang lagi netizen, Minh To membuat ulasan: “Jelas sekali bahasa Inggerisnya tidak bagus, tetapi jawapannya dalam bahasa Vietnam seolah-olah dia telah menghafal jawapan.
Namun, ada yang mempertahankan ratu cantik itu.
“Ngan mungkin tidak pandai bahasa Inggeris, tetapi ini pertandingan kecantikan dan bukan kejohanan debat. Pertandingan baru sahaja bermula dan masih ada banyak peluang untuk Ngan berjaya’,” tulis seorang pengguna internet, Trang Vo. – Agensi