PETALING JAYA – Pelakon dan penyanyi Janna Nick terharu hingga menitiskan air mata apabila ibu dan bapanya yang sudah lama berpisah dapat berhimpun kembali di majlis perkahwinannya.
Kata pemilik nama lengkap Nurul Jannah Muner itu, kehadiran kedua-dua insan disayangi itu cukup bermakna, sekali gus meninggalkan memori bersejarah yang terpahat kukuh dalam ingatan.
“Saya sangat berbesar hati melihat rakan-rakan selebriti yang sanggup datang dari Kuala Lumpur terbang ke sini (Langkawi).
“Memori yang paling tidak akan saya lupakan sampai bila-bila adalah apabila kedua-dua keluarga saya dapat disatukan kembali dalam sebuah majlis.
“Saya dapat tengok mak dan ayah saya dalam satu majlis. Saya dapat juga tengok Tok Wan. Terima kasih sangat-sangat.
“Ini adalah perkara yang sangat bermakna untuk saya,” katanya ketika membuat ucapan pada majlis persandingannya di sebuah resort di Langkawi.
Sebelum ini, aktres merangkap penerbit dan pengarah itu pernah mendedahkan orang tuanya bercerai ketika dia berusia sembilan tahun.
Anak kedua daripada empat bersaudara itu mendedahkan, dia kemudian memilih untuk berada di bawah jagaan neneknya.
Terdahulu, pernikahan Janna dan lelaki pilihan hati yang juga aktor, Dini atau Muhamad Dini Azan Schatzmann, 29, berlangsung pada 10 Jun lalu sekali gus menamatkan teka-teki ramai. – KOSMO! ONLINE