KUANTAN – Tindakan satu sindiket penipuan menggunakan nama dan syarikat kereta terpakai untuk memperdaya mangsa dalam urusan perniagaan yang tidak wujud sejak tahun lalu menjejaskan perniagaan pengusaha industri terbabit di negeri ini.
Seorang peniaga, Thomas Wong, 71, berkata, tindakan sindiket itu menimbulkan kebimbangan pelanggan untuk berurusan atau membeli kereta-kereta terpakai yang ditawarkan syarikat terlibat.
Sehubungan itu katanya, kira-kira 50 peratus perniagaannya terjejas selepas terdapat hampir 30 kes penipuan jual beli kereta menggunakan nama syarikatnya dikesan sejak tahun lalu.
“Sindiket ini menggunakan identiti syarikatnya termasuk nombor telefon dan alamat kedai saya di Jalan Datuk Wong Ah Jang untuk mengiklankan kereta melalui laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.
“Tujuannya dipercayai bagi menyakinkan pelanggan untuk berurusan dan memperdaya mangsa untuk membayar wang deposit,” katanya dalam sidang akhbar bersama Persatuan Perniagaan Motor dan Kredit Pahang di sini, hari ini.
Menurutnya, mangsa penipuan terbabit juga telah datang ke kedainya untuk menuntut kereta dibeli dengan membawa dokumen kelulusan pinjaman penuh menggunakan kepala surat syarikat lengkap dengan nombor telefon dan alamat.
“Mereka tuntut ganti rugi sedangkan kami tidak menyediakan pinjaman dan tidak pernah mengeluarkan sebarang dokumen seperti itu.
“Malah syarikat kami juga tidak pernah mengiklankan kereta-kereta terpakai yang dijual melalui laman sosial,” katanya.
Susulan itu menurutnya, dia telah membuat dua laporan polis berhubung perkara itu dalam tempoh dua tahun ini,”katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Perniagaan Motor dan Kredit Pahang, Donald Chan berkata, lebih 100 kes penipuan menggunakan nama syarikat ahli persatuan itu dikesan dan beberapa laporan polis telah dibuat setakat ini.
Beliau memberitahu, sasaran sindiket berkenaan adalah golongan yang terdesak untuk memiliki kereta terutama golongan berpendapatan rendah atau mereka yang disenaraihitamkan dan tidak layak membuat pinjaman bank.
“Kereta yang ditawarkan biasanya yang mendapat permintaan tinggi termasuk daripada jenama tempatan dengan harga jauh lebih murah daripada harga pasaran.
“Mangsa yang tertarik dengan iklan kereta ditawarkan akan membayar deposit RM500 hingga RM3,000 dan selepas bayaran dibuat suspek terus gagal dihubungi,” katanya. – KOSMO! ONLINE