SIBU – Seorang pelajar sebuah sekolah menengah di sini cedera selepas dipercayai terjatuh dari balkoni di tingkat dua bangunan sekolah berkenaan, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian daripada Hospital Sibu pada pukul 7 pagi, yang memaklumkan menerima seorang pesakit kanak-kanak lelaki.
“Siasatan di tempat kejadian oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sibu mendapati mangsa berumur 14 tahun terjatuh dari balkoni tingkat dua bangunan sekolah dan terjatuh di atas bumbung pejalan kaki,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Sibu dan keadaannya adalah stabil.
Justeru, beliau menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian tersebut. – KOSMO! ONLINE