fbpx

Nasihat ibu buat Aina Abdul ‘puasa’ fesyen pelik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AINA ABDUL

PETALING JAYA – Penyanyi popular, Aina Abdul akur dengan kecaman netizen yang menuntut dirinya untuk tidak berpakaian melebih-lebih.

Aina, 30, memilih untuk tunduk kepada permintaan netizen dan bersederhana dalam berpakaian selain tidak mahu kecaman tersebut memberi kesan terhadap ibunya.

“Saya juga manusia biasa, saya ada hati sama juga macam semua orang, rasa tak seronok bila kita buat sesuatu, kita asyik fikir apa orang suka dan tak suka. Saya sebenarnya sudah letih dengan kecaman sedemikian.

“Memang betul kena abaikan haters tapi saya kena fikirkan juga perasaan mak saya memandangkan mak saya sentiasa mengikuti perkembangan saya di platform media sosial, mak baca komen,” katanya.

Bahkan, salah satu asbab pelantun lagu Terus Hidup itu mengambil pendekatan untuk tidak berlebihan dalam berfesyen setelah menerima nasihat ‘makan dalam’ daripada ibunya sendiri.

“Mak adalah penyampai maklumat saya selain pengkritik utama, bila dia nasihatkan saya berkaitan pakaian, saya perlu akur dengan permintaan mak juga.

“Mak cakap, tak payahlah (pakai baju pelik), pakai biasa je, makin lama orang membenci, itu semua doa,” kongsi Aina usai konsert minggu keenam yang berlangsung di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), semalam.

Bagaimanapun, penyanyi asal negeri sembilan itu tidak akan meninggalkan jenama ‘Aina Abdul’ yang dibawa sejak sekian lama dan memilih untuk melepaskan ‘gian’ berfesyennya ketika konsert A Night with Aina Abdul 3.0 di Axiata Arena, kelak.

“Saya akur dengan netizen cakap, kadangkala okey untuk kata ‘YA’ pada permintaan netizen.

“Saya tidak rasa nak lawan netizen atau lemah sebab ikut kata mereka namun saya percaya pada akhirnya, pakaian tetap pakaian, kalau netizen suka pakaian saya macam ini (sederhana) syukurlah.

“Jujurnya saya ada macam-macam idea baju untuk Big Stage tapi takpelah saya simpan dan pakai masa konsert saya sendiri nanti,” ujar Aina.

Ini bukanlah kali pertama Aina ditikam kecaman bahkan pemenang Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) itu tidak pernah gagal mengundang tohmahan netizen apabila sebelum ini pernah didakwa menggayakan tudung saling tidak tumpah seperti biarawati gereja atau rahib. – KOSMO ONLINE!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI