AMPANG JAYA – Timbalan Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail dilantik sebagai Ketua Polis daerah ini berkuat kuasa hari ini.
Mohd. Azam menggantikan Senior Asisten Komisioner, Mohamad Farouk Eshak yang dinaikkan pangkat sebagai Ketua Penolong Pengarah D7 (Pencegahan Judi, Maksiat dan Gangsterism) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Majlis serah terima tugas itu disaksikan Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Sasikala Devi Subramaniam di Dewan D’Sury Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.
Mohamad Farouk berkata, pelbagai kejayaan sudah dicapai IPD Ampang Jaya di bawah kepimpinannya selama 2 tahun lapan bulan berkhidmat di sini.
“Perlu diakui banyak kenangan pahit dan manis sejak berkhidmat mengetuai daerah ini pada 15 Oktober 2020. Kerjasama yang erat antara pegawai tinggi, rendah, ketua jabatan tidak lupa juga sahabat ketua polis daerah yang lain.
“Saya yakin beliau (Mohd. Azam) mampu menggalas tugas dengan baik. saya doakan agar semua berjalan dengan lancar buat IPD Ampang Jaya,” katanya dalam ucapan pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, di sini, hari ini.
Sementara itu, Mohd. Azam berkata, beliau akan menggalas tanggungjawab baru itu dengan berusaha memberi khidmat terbaik.
“Ampang Jaya bukan asing bagi saya, saya berharap pucuk pimpinan Polis Selangor memberikan panduan kepada saya sepanjang perkhidmatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.