RAWANG – Seorang lelaki tempatan mengalami kecederaan parah patah kaki selepas berdepan detik cemas terbabas dan berpusing melanggar sebuah trak pikap di Lebuh Raya Utara-Selatan sebelum susur keluar Lembah Beringin, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada pukul 8.48 pagi.
Menurutnya, seramai lapan anggota serta sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Avanza dipandu seorang lelaki tempatan dipercayai terbabas dan berpusing melanggar sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux dinaiki seorang lelaki tempatan.
“Akibat kemalangan tersebut, mangsa pemandu Toyota Avanza berusia berusia 47 tahun telah tersepit di bahagian hadapan pemandu, manakala pemandu Hilux berusia 45 tahun tidak mengalami kecederaan.” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohamadul Ehsan, mangsa berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba pada pukul 8.53 pagi menggunakan peralatan khas dan telah mengalami kecederaan parah patah kaki serta bahagian bahu kiri.
“Sejurus itu, mangsa telah dikejarkan ke Hospital Slim River menggunakan ambulan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya. – KOSMO! ONLINE