KUALA LUMPUR – Pelakon Kuza dan adiknya Kunie diarah oleh Mahkamah Sesyen Sivil di sini memfailkan pembelaan terhadap saman fitnah yang dikemukakan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah, Datuk Rizalman Mokhtar dan anak lelakinya berhubung gambar dengan tetamu kehormat dalam majlis perkahwinan.
Perkara itu dimaklumkan peguam, Aizul Rohan Anuar yang mewakili Kuza dan adiknya Kunie selaku defendan pada pengurusan kes hari ini.
“Mahkamah mengarahkan agar pembelaan itu difailkan sebelum atau pada 5 Julai ini. Kes ditetapkan untuk pengurusan kes pada 21 Julai ini,” katanya ketika dihubungi selepas prosiding secara dalam talian di hadapan Hakim Azian Othman.
Sementara itu, peguam Datuk Adnan Seman yang mewakili Rizalman dan anak lelakinya yang juga plaintif dalam tindakan saman itu mengesahkan perkara tersebut.
Tambahnya, mahkamah turut mengarahkan pihak plaintif untuk memfailkan afidavit balasan terhadap pembelaan yang akan difailkan defendan pada 20 Julai ini.
Pada 8 April lalu, Rizalman memfailkan saman fitnah itu terhadap Kuza dan Kunie yang juga dua bekas adik iparnya yang mendakwa kakak mereka yang juga seorang pelakon Kuna tidak dibenarkan bergambar dengan tetamu kehormat sewaktu majlis perkahwinan anaknya kerana berstatus janda.
Selain Rizalman, 51, yang juga Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, turut menjadi plaintif dalam saman fitnah itu ialah anak lelakinya, Nik Muhammad Hakimi, 27.
Berdasarkan tuntutan saman, Rizalman dan Nik Muhammad Hakimi menamakan pelakon, Kuza atau nama sebenarnya Tengku Sariza Tengku Mohd. Muzani dan adiknya, Tengku Sariwani atau Kunie sebagai defendan pertama dan kedua.
Menurut penyataan tuntutan yang difailkan, Rizalman dan Nik Muhammad Hakimi mendakwa Kuza dan Kunie telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap mereka melalui laman sosial Instagram dan TikTok sekitar Februari lalu.
Kenyataan yang dikatakan fitnah itu dikatakan berkaitan dengan Tengku Sarina Tengku Mohd. Muzani atau Kuna pada majlis perkahwinan Nik Muhammad Hakimi yang merupakan anak kepada Rizalman dan Kuna sebelum pasangan itu bercerai sekitar 2001.
Menurut penyataan tersebut, satu raptai majlis persandingan telah diadakan pada 16 Februari lalu memandangkan tetamu jemputan kehormat majlis tersebut turut melibatkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.
Pada majlis raptai tersebut, Kuna turut dijemput untuk persiapan majlis namun selepas majlis raptai selesai, pihak pengantin lelaki dan perempuan dimaklumkan oleh pihak Istana Negara bahawa hanya dua wakil bagi setiap keluarga dibenarkan untuk berada di dalam bilik menunggu yang menempatkan pasangan itu bagi tujuan bergambar.
Menurut pernyataan tuntutan itu, plaintif pertama (Rizalman) telah memilih untuk hadir dengan isterinya, Datin Syazlina Bahardin dan plaintif kedua (Nik Muhammad Hakimi) terpaksa memaklumkan ibu kandungnya, Kuna bahawa Kuna tidak boleh hadir bersama dengannya ke bilik menunggu bagi mengelakkan percanggahan protokol ditetapkan oleh Istana Negara.
Apatah lagi ia bukan majlis sebelah plaintif sebaliknya adalah majlis belah pengantin perempuan.
“Selepas plaintif kedua memohon maaf sebagai tanda hormat dan memaklumkan perkara tersebut, Kuna memberitahu plaintif kedua melalui nota suara WhatsApp bahawa beliau terima ketetapan majlis belah perempuan tersebut dan tiada sebarang masalah atau pertikaian timbul pada malam 16 Februari lalu,” ujar penyataan tuntutan tersebut.
Bagaimanapun pada majlis yang diadakan 17 hingga 19 Februari lalu, Kuna ditempatkan semeja dengan Rizalman dan isterinya yang turut menempatkan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan dan isteri; Timbalan Menteri Pertahanan bersama isterinya dan beberapa kenamaan lain.
Kuza dan Kunie juga hadir dan ditempatkan di meja kenamaan serta diberi layanan istimewa selaku keluarga terdekat plaintif kedua.
Bagaimanapun pada 26 Februari lalu, Kunie didakwa telah mengeluarkan kenyataan di Instagram miliknya mempertikaikan mengapa kakaknya, Kuna tidak dibenarkan berada di bilik menunggu bersama-sama kenamaan lain dan mendakwa kejadian itu berlaku kerana pelakon itu berstatus janda. – KOSMO! ONLINE