fbpx

Kereta Google Maps sesat dalam kebun tebu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk membantu menarik kereta Google Maps tersebut menggunakan tali. – Istimewa

 

JAKARTA –  Sebuah kereta Google Maps tersesat di sebuah kebun tebu di Malang, Jawa Timur selepas mengikuti arahan pada aplikasi pemetaan tersebut, lapor stesen penyiaran CNN hari ini.

Dalam kejadian pada Khamis minggu lalu, kereta Honda HR-V yang mempunyai kamera pada bahagian atas bumbung itu melalui jalan mati tersebut selepas gagal berpatah balik akibat permukaan jalan yang licin selepas hujan.

Menyedari kenderaannya menghadapi masalah, pemandu berkenaan meminta tolong penduduk setempat sebelum mereka membantunya menggerakkan kereta itu sejauh 400 meter menggunakan tali.

“Pada awalnya, penduduk tidak mengetahui bahawa kereta Google Maps masuk ke kawasan itu kerana sekiranya kami tahu, pasti kami memaklumkan bahawa  ia  jalan mati,” kata seorang penduduk, Amin.

Menurut Amin, jalan ke kebun tebu itu sememangnya muncul pada Google Maps, namun ia sebenarnya jalan mati.

Tambahnya, itu bukan kejadian pertama kenderaan tersesat masuk ke dalam kebun tersebut kerana pada tahun lalu, terdapat sebuah kereta lain nyaris  melalui jalan sama.

Insiden itu menjadi perhatian pengguna media sosial yang menyuarakan rasa lucu apabila ia disifatkan seperti ‘senjata makan tuan’.

“Itu akibatnya kalau selalu buat orang sesat (Google Maps), sekarang anda sendiri yang sesat,” kata seorang netizen.

“Google Maps pun boleh tersesat. Kalau perempuan yang tersesat anda katakan dia tidak pandai membaca peta,” ujar pengguna lain.

Kereta Google Maps dikenali ramai kerana ia mempunyai kamera besar pada atas bumbung dan berfungsi merakam gambar di sekelilingnya ketika bergerak di jalan-jalan raya untuk pemetaan Street View. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI