fbpx

Kerani rugi RM1,500, beg tangan kena ragut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua suspek yang disyaki terlibat dalam kes ragut seorang kerani wanita di Tikam Batu, dekat Sungai Petani pada Sabtu lalu.

SUNGAI PETANI – Seorang kerani berputih mata apabila beg tangan mengandungi wang tunai RM1,500 dan dokumen berharga dilarikan dua lelaki bermotosikal dalam kejadian di sebuah taman perumahan di Tikam Batu, dekat sini pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu berlaku ketika wanita berusia awal 40-an terbabit sedang keluar dari kereta yang diletakkan di hadapan rumahnya.

“Dua suspek yang memakai penutup muka hitam dan menaiki motosikal jenis Yamaha Y15ZR menghampiri mangsa sebelum salah seorang daripada mereka meragut beg tangan dipegang mangsa.

“Mereka kemudian memecut motosikal dan meninggalkan lokasi kejadian. Disebabkan panik dan terkejut dengan kejadian itu, mangsa tidak sempat mengambil nombor pendaftaran motosikal dinaiki suspek,” katanya di sini hari ini.

Kata Zaidy, mangsa membuat laporan di Balai Polis Tikam Batu sejurus kejadian dan suspek sedang diburu termasuk menggunakan gambar yang sempat dirakamkan seorang penduduk semasa kejadian.

“Kita meminta saksi yang melihat kejadian itu untuk tampil membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI