fbpx

Beri kebebasan remaja 18 tahun buat keputusan berkaitan rokok 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemain dalam industri tembakau, persatuan dan juga penganalisis politik bersefahaman menolak dasar GEG. -Gambar hiasan

PETALING JAYA – Persoalan yang ditimbulkan oleh Ahli Parlimen Sungai Buloh Datuk R.
Ramanan, mengapa generasi muda diberi hak mengundi seawal usia 18 tahun tetapi masih dilihat tidak mampu membuat keputusan merokok telah mengundang beberapa pandangan yang melihat kewajarannya.

Beliau yang secara terang menolak dasar Generasi Penamat Rokok (GEG)  berkata kerajaan boleh melaksanakan cukai yang lebih tinggi ke atas rokok dan bukannya menyekat mereka daripada membuat keputusan.

“Saya tidak mengatakan bahawa ia adalah perkara yang betul untuk membenarkan generasi akan datang merokok, tetapi ia harus menjadi pilihan untuk mereka, dan bukan sesuatu untuk kita ambil (daripada mereka),” katanya dalam satu sidang media di Parlimen baru-baru ini.

Tambah Ramanan,  melalui keputusan tersebut, kerajaan kemungkinan kehilangan hasil cukai yang mungkin datang daripada jualan rokok dan melanggar isu privasi berkaitan pengesahan umur yang perlu dilakukan oleh penjual rokok selaras dengan memastikan pembeli dilahirkan selepas 2007.

Ramanan menegaskan, dasar itu memerlukan lebih banyak kajian dan penyelidikan sebelum ia boleh dilaksanakan dan negara lain tidak melaksanakan undang-undang sedemikian dan hanya menelitinya.

“Tambahan pula, banyak syarikat berkaitan industri vape akan mengurangkan pekerja dan  banyak kedai terpaksa ditutup untuk menampung dasar itu,” katanya.

Selain itu, turut menyokong pendirian tersebut adalah beberapa penganalisis politik yang berpendapat bahawa keputusan pilihan raya umum ke-15 yang menyaksikan peratusan tinggi daripada pengundi 18 tahun telah mengakibatkan tiada mana parti pun menguasai majoriti, memaksa kerajaan perpaduan dibentuk.

“Malah pembentukan kerajaan campuran sehingga hari ini berdepan kecanggungan besar untuk menjelaskan kepada ahli-ahli peringkat akar umbi,’’ kata seorang penganalisis lain yang enggan namanya disiarkan.

Seorang pensyarah kolej lain pula berpendapat bahawa faktor pengundi 18
tahun tidak boleh diperlekehkan.

“Pengundi 18 tahun akan melihat kerajaan yang mereka undi lebih cenderung
meragut kebebasan mereka dalam membuat keputusan dan akan bertindak
balas semasa pilihan raya.

“Malah, perkara ini berkemungkinan menjadi `senjata ampuh’ kepada parti
lawan dalam pilihan raya negeri tidak lama lagi, walaupun mereka bukan
sangat didorong oleh soal rokok tetapi melihat soal `kebebasan memilih’
boleh dijadikan isu,” katanya.

Sementara itu, Ramanan menjelaskan, Kementerian Kesihatan (KKM) hanya perlu membentangkan Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 sebaik sahaja ia melakukan semua kajian yang sewajarnya dan menjawab semua soalan daripada pakar dan pemain industri, katanya.

Rang undang-undang yang bertujuan untuk mengharamkan penggunaan,
pemilikan dan penjualan rokok dan produk vape kepada mereka yang lahir
selepas 2007, diperkenalkan oleh Khairy Jamaluddin tahun lepas. –KOSMO!ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI