PETALING JAYA – Seorang lelaki kecewa apabila isterinya yang sedang sakit ketika mahu bersalin dituduh malas meneran oleh seorang jururawat di sebuah hospital.
Menerusi perkongsian AmirulHaris di akaun TikTok miliknya berkata, isterinya telah dimasukkan ke dalam dewan bersalin seawal pagi lagi dan terpaksa menunggu sehingga lewat petang.
“Isteri dimasukkan ke ‘labour room’ dari pukul 9 pagi dan kejadian berlaku pada pukul 7 malam.
“Disebabkan terlalu lama menahan kontraksi, doktor minta jururawat untuk bantu isteri,” ujarnya.
Bagaimanapun, jururawat itu berkata ‘Eh, buat apa nak tolong, buat penat saya saja tolong, tapi diri dia sendiri malas.
“Masa ini aku disuruh berada di sebalik langsir dan tak dibenarkan tengok apa mereka buat,” katanya.
Menurut Amirul, isterinya akhirnya terpaksa bersalin melalui kaedah pembedahan kerana tidak dapat keluar secara normal.
“Doktor maklum yang bayi tak dapat keluar normal dan perlu dibedah kerana saiz,” ujarnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata ibu turut berkongsi pengalaman serupa.
“Tahun 2020 kena dengan ‘nurse’ macam ini. ‘Baby’ keluar, satu ‘nurse’ pun tak ada yang sambut. Alasannya sebab beranak masa dia habis ‘syif’. Fobia sampai kena jumpa psikiatri,” kata Hanis Yunos.
“Dahulu arwah kakak saya tergapai-gapai tak cukup oksigen. Saya panggil ‘nurse’ masa dia keluar dari bilik tu dia mendengus,” ujar Nurathira. – KOSMO! ONLINE