PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di lima negeri sehingga 5 petang.
MetMalaysia dalam kenyataannya di Facebook berkata, cuaca buruk itu melibatkan Perlis, Kedah, Perak, Johor dan Sabah.
“Hujan lebat dijangka berlaku di seluruh negeri Perlis manakala di Kedah membabitkan Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Sik dan Baling.
“Bagi Perak, cuaca buruk diramalkan tertumpu di Hulu Perak sementara di Johor meliputi Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru,” Katanya hari ini.
Dalam pada itu, amaran sama turut dikeluarkan antaranya di Pedalaman, Pantai Barat dan Kudat di Sabah.
Kata MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimiter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE