PETALING JAYA – Beberapa cikgu prasekolah mendakwa mereka bukan sahaja bertanggungjawab mendidik anak murid, tetapi perlu juga menyimpan rahsia rumah tangga yang diceritakan oleh anak murid mereka sendiri.
“Jangan main-main dengan cikgu prasekolah. Banyak rahsia rumah tangga kami simpan.
“Jangan risau, cikgu simpan baik-baik,” menurut perkongsian salah seorang guru prasekolah.
Terdapat cikgu prasekolah yang berkongsi pengalaman anak muridnya bercerita ibu bapanya bergaduh sehingga ibunya mahu lari daripada rumah.
“Setuju sangat, anak murid cerita ‘cikgu semalam mama dan papa gaduh lepas itu mama cakap nak balik kampung kemas beg semua’,” kata Ain.
“Bekas cikgu tadika hadir. Saat kita terdengar tu, terkedu, terkebil, terkaku sekejap. Lepas tu masa ‘parent’ ambil anak auto terbayang cerita yang pagi tadi tu,” ujar incessikin.
Sementera itu, ibu bapa juga tidak melepaskan peluang berkongsi pengalaman rahsia rumah tangga mereka dibocorkan anak-anak kepada guru di prasekolah.
“Masa anak aku tadika, boleh pulak pergi cerita dekat cikgu yang aku buasir. Siap cikgu WhatsApp semoga puan cepat sembuh,” ujar Aqilah Hambali Sumay.
“Kereta saya kena saman parking dengan MBSA, satu sekolah tahu,” kata Mdm Jai. – KOSMO! ONLINE