fbpx

Hala tuju baharu UMNO menerusi PAU 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERHIMPUNAN Agung UMNO 2023 (PAU 2023) yang melabuhkan tirainya Sabtu lalu merupakan perhimpunan yang ditunggu-tunggu pemerhati politik seluruh negara kerana perhimpunan tersebut merupakan kali pertama dalam sejarah diadakan selepas parti itu bersama Pakatan Harapan (PH).

Kebersamaan UMNO-PH yang membentuk Kerajaan Perpaduan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu secara dasarnya adalah bagi memulihkan negara selepas ‘demam’ tebuk atap berlaku sehingga negara berada pada tahap terburuk beberapa ketika.

Dalam PAU kali ini, ternyata ucapan-ucapan yang dibuat oleh lima tertinggi atau top 5 UMNO telah menyatakan hasrat yang sama untuk terus bersama Kerajaan Perpaduan bagi memacu Malaysia ke tahap apa yang negara pernah kecapi sebelum ini.

Presiden UMNO sendiri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut menyatakan, tiada apa yang mustahil dalam perubahan laman politik dunia dan juga di dalam negara.

Ia menuntut semua pihak agar segera melakukan penyesuaian yang mengambil pertimbangan masa hadapan, di samping evolusi politik dunia menyaksikan banyak negara kini membentuk kerajaan pelbagai parti, sama ada atas nama kerajaan campuran mahupun kerajaan perpaduan.

Ahmad Zahid menjelaskan, parti-parti politik yang sebe­lumnya berseteru dan tidak boleh bersama, kini bergabung membentuk kerajaan demi rak­yat. Hari ini, lebih 70 negara di dunia membentuk kerajaan perpaduan seperti New Zealand, Perancis, Denmark, Papua New Guinea, Brazil dan lain-lain.

Kebanyakan negara Barat dan Asia, melorongkan pembentukan Unity Government ini bagi memadamkan polemik politik yang selama ini merencatkan kestabilan dan menyekat penjanaan ekonomi negara serta rakyat.

Namun, dalam keghairahan kebersamaan UMNO bersama PH dalam pemerintahan negara ketika ini, satu sosok yang dilihat sedikit ‘melawan’ dan masih memegang prinsip perjuangan parti iaitu Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh adalah satu watak yang boleh diberi perhatian.

Ketika dua sayap lain dalam UMNO iaitu Wanita dan Puteri yang ghairah menjemput wakil parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan, DAP untuk hadir ke rumah keramat mereka di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), lain pula yang dilakukan oleh sayap Pemuda.

Mereka masih dengan prinsip asal parti yang mana tidak menjemput wakil dari DAP untuk hadir, malah Dr. Akmal juga berani menyentuh berkenaan permohonan maaf yang perlu dilakukan oleh DAP kepada UMNO terhadap kesalahan lama.

Dr. Akmal walaupun tidak pernah membantah arahan pre­sidennya dan dasar yang dilakukan UMNO ketika berada dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini, namun semangat lama yang patut ada dalam pemimpin UMNO masih dikekalkan.

Prinsip sama yang dibawa oleh bekas Ketua Pemuda UMNO sebelum ini, Khairy Jamaludin Abu Bakar yang sedikit ‘melawan’ jika dibandingkan dengan Ketua Pemuda yang lain kini ada penggantinya.

Walaupun agak ‘panas’ de­ngan isu permohonan maaf, Ahmad Zahid jelas memuji Dr. Akmal ketika sesi penggulungan PAU2023 dan Timbalannya, Datuk Seri Muhamad Hasan turut bersetuju dengan gesaan yang dibuat Ketua Pemuda baharu itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI