fbpx

Gaun dipakai ‘penyondol’ cantik laku keras

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gaun bercorak bunga berwarna merah jambu separas dada dan bertali kecil itu laris dijual di Taobao pada harga 618 yuan (RM399) sehelai. – Douyin

BEIJING – Sehelai gaun yang dipakai perempuan simpanan seorang pengarah syarikat di China menjadi rebutan selepas video memaparkan pasangan itu sedang berjalan dirakam tanpa sengaja oleh jurugambar di Douyin Street, Chengdu, lapor portal berita Wolipop hari ini.

Douyin Street  menjadi lokasi tumpuan barisan jurugambar amatur yang merakam orang ramai  berjalan di kawasan tersebut sambil memakai fesyen menarik.

Dalam video yang tular di laman  sosial China, Douyin, wanita dikenali sebagai Dong Sijin itu berjalan berpimpingan  tangan dengan Pengarah dan Pengurus Besar Beijing Huanqiu Construction, Hu Jiyong.

Selain skandal mereka terbongkar akibat gambar tersebut, pakaian yang dipakai Sijin menjadi perhatian ramai. Lebih  4,000 helai gaun itu dijual setakat 8 Jun lalu.

Gaun paras dada bercorak bunga berwarna merah jambu dan bertali kecil itu dijual di laman e-dagang, Taobao pada harga 618 yuan (RM399) sehelai.

Menurut seorang pengguna laman sosial Weibo, pakaian itu menjadi rebutan ramai kerana ia digayakan oleh wanita memiliki paras rupa yang cantik.

“Si lelaki kaya, si wanita pula berkulit putih, cantik dan berkaki panjang,” kata seorang netizen.

Namun, terdapat juga pengguna media sosial yang mengkritik trend itu dengan menyifatkan orang ramai seolah-olah ‘memberi restu’ kepada kecurangan mereka.

“Perempuan simpanan  berpakaian cantik, semua orang mahu menirunya. Gaun yang sama habis terjual. Sungguh ironi,” ujar pengguna media sosial lain.

Sementara itu, menurut portal berita Dimsum Daily, Jiyong yang sudah beristeri dilucutkan daripada jawatannya dan sedang menghadapi siasatan dalaman.

Sijin dalam masa sama turut dipecat daripada jawatannya dan sedang menanti siasatan syarikat. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI