KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini membentangkan usul Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) 2020 untuk dibahaskan buat kali pertama.
Laporan dan penyata itu dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Katanya, pembentangan itu sesuai dengan aspirasi dan komitmen kerajaan yang telus dan berintegriti dalam usaha melindungi, memenuhi tanggungjawab dan menghormati isu hak asasi manusia yang mengangkat serta menjadikan Suhakam sebagai badan bebas pada peringkat nasional dan antarabangsa.
“Laporan Suhakam ini sudah diberikan pengiktirafan status A di bawah prinsip Paris, selain mampu mewujudkan kerjasama yang baik antara agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, melalui perbahasan itu, kerajaan dapat mengambil cadangan langkah sesuai untuk menangani isu yang bakal dibangkitkan.
“Kebanyakan isu hak asasi manusia yang dibangkitkan ketika Perbahasan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suhakam 2018 pada 5 Disember 2019 mahupun Laporan Suhakam selepas itu, belum lagi diselesaikan secara tuntas oleh kerajaan sebelum ini.
“Isu yang dikenal pasti dalam laporan itu tertunggak terus berulang saban tahun termasuk dalam Laporan Tahunan Suhakam yang berada di hadapan kita, pada hari ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE