fbpx

Dewan Rakyat: Kenderaan lebih muatan punca jalan rosak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sikap tidak bertanggungjawab pemandu kenderaan berat yang membawa lebih muatan menjadi punca jalan raya di negara ini rosak.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, beliau percaya ada segelintir pemandu yang membawa lebihan muatan meskipun had muatan ditetapkan hingga 60 tan metrik sahaja.

“Saya berani kata demikian kerana saya sendiri pernah bertanya pemandu sebuah lori yang berhenti di tepi jalan, dia kata lebih kurang 100 tan metrik, kenderaan yang membawa muatan itu. Ini antara punca sebenarnya.

“Kalau boleh Kementerian Pengangkutan (MOT) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Ikatan Silaturahim Brotherhood bekerjasama atasi masalah seperti ini, saya percaya Inshaallah daya tahan dan jangka hayat jalan raya kita mungkin boleh panjang sedikit,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada soalan tambahan yang diajukan oleh Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa (BN-Tampin) yang mahu kerajaan menjelaskan teknologi baharu yang digunakan untuk turapan jalan serta sejauh mana libat urus kementerian dengan NGO bagi mengatasi isu kekerapan kerosakan jalan persekutuan.

Dalam pada itu, Abdul Rahman turut menggesa MOT dan NGO untuk berkerjasama dengan kementerian bagi mengatasi masalah terbabit.

“Kalau tengok soalan-soalan Yang Berhormat di dalam Dewan Rakyat seperti di Klang umpamanya, isu kenderaan berat amat ketara dan begitu juga di kawasan lain.

“Sedangkan di negara kita, (had) berat muatan kadarnya lebih kurang 60 tan metrik, tapi saya percaya kenderaan yang lalu di jalan persekutuan seperti di Gua Musang, melebihi 60 tan metrik,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI