fbpx

Ajoi pasrah rumah dijilat api

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AJOI berkata kediamannya musnah 30 peratus dalam kebakaran yang berlaku pada awal pagi tadi.

PETALING JAYA – Penyanyi Ajoi Zainal bagai hilang kata-kata apabila hampir 30 peratus kediaman keluarganya musnah dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku pada awal pagi tadi.

Ajoi atau nama lengkapnya Qaidzul Zainal Abidin berkata, kejadian itu berlaku selepas dia baru sahaja pulang dari menonton program Big Stage musim kelima (BS5) di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam InstaStory miliknya, penyanyi berusia 25 tahun itu dilihat tidak dapat menahan perasaan sedih apabila menyaksikan dari jauh kediaman keluarganya hangus dijilat api yang sedang marak.

“Ya Allah ya Tuhanku. Sampai empat buah jentera bomba datang. Permudahkanlah urusanku,” ujarnya cemas.

Menurut bekas peserta Big Stage musim keempat itu, walaupun ditimpa ujian, dia tetap bersyukur apabila kebakaran itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa sementara punca kebakaran masih lagi dalam siasatan pihak bomba.

“Kepada yang sudi bertanya dan mengambil berat, rumah saya hanya 30 peratus sahaja dijilat api. Tiada kemalangan jiwa berlaku.

“Cuma buat sementara waktu, pihak berkuasa tidak membenarkan saya untuk berada di lokasi kediaman sehingga diberitahu.

“Sampai sekarang saya tidak tahu punca kejadian. Memang semasa kebakaran, saya baru sahaja 30 minit pulang dari menonton BS5 di MBSA,” katanya.

Pada masa sama, penyanyi bersuara serak-serak basah itu turut mengucapkan terima kasih pihak yang sudi membantu keluarganya, termasuk kepada seseorang yang telah memberikan penginapan sementara untuknya dan keluarga.

“Terima kasih kepada yang bertanya, berdoa dan sudi menolong saya. Terima kasih juga kepada mereka yang terus menghulurkan bantuan tanpa saya sedar.

“Terima kasih juga kepada seorang hamba Allah kerana memberikan kunci rumah ‘homestay’ untuk keluarga saya menetap buat sementara waktu. Allah maha kuasa. Alhamdulillah,” ucapnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI