PUTRAJAYA – Sebanyak 40 peratus daripada peruntukan subsidi kerajaan disifatkan telah dinikmati oleh golongan kaya sekali gus dilihat tidak munasabah diteruskan seperti pemberian subsidi tarif elektrik dan kos pelaksanaan haji.
Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah penjimatan melalui tindakan rasionalisasi subsidi perlu dilaksanakan.
Katanya, langkah penjimatan itu merupakan sebahagian daripada Naratif Ekonomi Madani yang akan dilancarkan kerajaan pada Ogos depan.
“Bagaimanapun, dalam sebarang langkah menetapkan mekanisme subsidi bersasar itu, kerajaan tidak sekali-kali akan berganjak dengan pendirian untuk mengurangkan subsidi bagi rakyat bawahan.
“(Mekanisme rasionalisasi subsidi) mungkin kita akan buat mengikut keadaan seperti kita lakukan untuk tarif eletrik dan Tabung Haji (TH) kerana penjimatan itu perlu,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di bagunan Perdana Putra di sini hari ini.
Katanya, kajian dibentangkan Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan dalam mesyuarat hari ini mendapati sekurangnya 40 peratus subsidi sampai ke golongan kaya.
“Jadi, saya tidak faham kenapa sesetengah orang masih nak pertahankan (pengurangan subsidi).
“Subsidi TH dan elektrik selama ini dimanfaatkan golongan kaya tidak munasabah diteruskan, jadi prinsip ini akan tetap diguna pakai dalam perbincangan soal pengurangan subsidi diesel dan lain-lain,” jelasnya.
Pada masa sama, Anwar berkata, mesyuarat MTEN kali ini membentangkan mengenai langkah lebih bermakna daripada segi penstrukturan semula ekonomi dan Naratif Ekonomi Madani.
Katanya, Bank Negara Malaysia (BNM) turut membentangkan kedudukan ekonomi ketika ini selain kekuatan dan kelemahannya serta beberapa langkah baharu untuk memastikan ekonomi negara di tahap kukuh dan pelaksanaan dasar yang berkesan.
“Perbincangan lain juga menekankan keadaan ekonomi semasa dunia yang tidak begitu memberansangkan, maknanya langkah domestik tegas diambil bagi mengimbangi kelemahan ekonomi global
“Soal reformasi ekonomi yang akan diputuskan dalam mesyuarat akan datang untuk memastikan kewujudkan ekonomi bernilai tinggi seperti menambah baik liputan keselamatan sosial melalui pendekatan pengupayaan rakyat dan reformasi pasaran kerja,” katanya. – KOSMO! ONLINE