fbpx

[VIDEO] Pemandu wanita sakit dada punca kemalangan enam kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan di lokasi kejadian apabila salah seorang pemandu kereta wanita dipercayai sakit dada lalu hilang kawalan di Jalan Balik Pulau pagi tadi.

BALIK PULAU – Kemalangan membabitkan enam buah kenderaan di Jalan Balik Pulau di sini pagi tadi dipercayai berpunca apabila salah seorang pemandu kereta wanita mengalami sakit dada sehingga hilang kawalan lalu memasuki ke laluan bertentangan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, kejadian kemalangan membabitkan tiga buah kereta dan tiga motosikal itu dilaporkan berlaku kira-kira pukul 9 pagi tadi.

Menurutnya, siasatan mendapati, insiden berlaku apabila pemandu wanita berusia 59 tahun dari arah pekan Balik Pulau telah memasuki ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta dari Simpang Empat.

“Tiga buah motosikal tidak sempat mengelak dan salah sebuah motosikal terbabit telah terbabas dan melanggar sebuah lagi kereta yang diletakkan di kawasan parkir kedai makan tom yam.

“Dalam kejadian tersebut, dua orang cedera parah, dua berada di zon kuning, dua berada di zon hijau dan seorang lagi tidak mengalami kecederaan. Kesemua mereka sedang dirawat di Unit Kecemasan Hospital Balik Pulau,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau memberitahu, siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, tular video di lokasi kejadian kemalangan yang turut memaparkan seorang wanita sedang mengalami sakit dada manakala seorang mangsa lelaki dalam keadaan terbaring di dalam parit tepi jalan berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI