KULAI – Kehilangan seorang wanita, Chong Sum Yee, 22, yang menggembara seorang diri ke Thailand sejak 29 Mei lalu mencetuskan tanda tanya termasuk mengenai kemungkinan dia menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar.
Kebimbangan itu disuarakan sendiri ibu mangsa, Chee Choy Won, 50, selepas menerima panggilan telefon daripada Sum Yee yang memberitahu dia kini dalam keadaan sihat dan bahagia.
Menurut Choy Won, apa yang membuatkan dia sangsi apabila suara anak perempuannya itu kedengaran agak tertekan selain desakan Sum Yee yang memintanya untuk menarik balik laporan polis yang dibuat sebelum ini.
Justeru, ibu mangsa yang baru pulang daripada mengadakan pertemuan dengan pihak polis di daerah Mae Sai di wilayah Chiang Rai, Bangkok, Rabu lalu merayu kepada semua pihak berkaitan untuk membantu dan segera menyelamatkan anaknya.
“Saya cuba menghubunginya Angie (nama panggilan Sum Yee) malam tadi (kelmarin), namun tidak berjawab. Tidak lama kemudian, dia menghubungi saya semula dan mengatakan dia dalam keadaan sihat dan sangat bahagia di sana, namun suaranya kedengaran agak tertekan.
“Malah, dia turut meminta saya untuk menarik balik laporan polis yang telah dibuat sebelum ini lalu memutuskan panggilan. Selepas itu dia tidak dapat dihubungi lagi, mesej hantar melalui WhatsApp tidak dibaca,” katanya pada sidang akhbar kehilangan anaknya di Ibu Pejabat DAP Johor di Jalan Tropika 1, Taman Tropika, di sini semalam.
Turut hadir ialah Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor, Alan Tee Boon Tsong.
Terdahulu, media melaporkan Sum Yee berlepas ke Chiang Mai pada 29 Mei lalu dan mengembara ke Mae Sai yang terletak di utara Thailand, berhampiran bandar Tachilek di Myanmar iaitu lokasi pemerdagangan manusia yang dilaporkan sebelum ini.
Sebelum ini, Sum Yee yang bekerja sebagai jurusolek di Kuala Lumpur dilaporkan berulang kali menyatakan ‘dia selamat dan sihat’ dalam tiga video yang dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook bernama ‘Moe Aye’ di ruangan komen catatan ibunya.
Polis Thailand berkata, siasatan awal mendapati Sum Yee telah menyeberang sempadan ke Tachilek, Myanmar pada 30 Mei.
Ibu kepada dua anak itu berkata, anak bongsunya yang merantau seorang diri ke Thailand sepatutnya pulang ke tanah air pada Rabu lalu, namun itu tidak berlaku.
Katanya, dia telah pergi ke Mae Sai setelah berasa tidak sedap hati apabila anak perempuannya gagal dihubungi sejak lima hari sebelumnya dengan kali terakhir dihubungi pada 1 Jun.
Tambahnya, polis Thailand memaklumkan terdapat kemungkinan anaknya itu berada di Mynmar dan kedua-dua pihak berkuasa sedang bekerjasama bagi mengesan anaknya.
“Angie beritahu dia pergi ke Thailand seorang diri atas urusan kerja, namun apabila bertanyakan majikannya, dia tidak tahu mengenai perkara itu. Sejak itu saya tidak sedap hati kerana langsung tidak dapat menghubunginya.
“Saya khuatir dengan keadaannya, dia tidak pernah melancong ke luar negara sebelum ini, apatah lagi seorang diri,” ujarnya yang memaklumkan anaknya tidak ada masalah kewangan atau masalah keluarga.