fbpx

PM mahu peranan Jakim diperkasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika hadir pada Majlis Pelancaran Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth, hari ini. Foto IQBAL HAMDAN / KOSMO!

SEBERANG PERAI – Peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu diperkasakan bagi memantapkan penyelarasan pentadbiran institusi keagamaan di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, komitmen Kerajaan Madani dalam memperhebatkan Islam jelas menerusi penambahan peruntukan kepada Jakim bagi memastikan agensi itu berfungsi dengan lebih baik.

Menurutnya, sebelum ini termasuk beberapa tahun yang lalu dalam kerajaan terdahulu, fungsi Jakim adalah melaksanakan program dakwah, latihan bersama kerajaan negeri termasuk menganjurkan tilawah.

“Tetapi, dalam merangka Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Belanjawan Madani dalam melakukan reform (perubahan) institusi-institusi kerajaan dan negara, dilihat Jakim kurang berperanan.

“Saya telah mengarahkan peranan mufti, ulama dan tokoh di Jakim supaya input mereka selari dengan perkembangan sekali gus dapat memberi manfaat dan mengangkat martabat, harakat, serta darjat negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Negeri Pulau Pinang di Pusat Konvesnyen PICCA @ Arena Butterworth, di sini.

Dalam pada itu, beliau turut mengajak umat Islam untuk memanfaatkan mukjizat Al-Quran dengan membicarakan soal kemampanan, dan sistem nilai yang dianjurkannya tanpa mempertahankan sesuatu yang bertentangan.

Beliau berkata, wujud sanggahan oleh individu tertentu terhadap insiatif kerajaan termasuk Belanjawan Madani dengan membuat rujukan kepada ayat dalam al-Quran secara tidak tepat.

Katanya, tindakan meperkudakan Al-Quran untuk melemparkan hujah merosakkan kemurnian kitab suci itu yang telah dipertahankan para ulama selama lebih seribu tahun.

“Sebab itu saya membicarakan soal wacana yang ada dalam Al-Quran itu dalam menjawab tohmahan dengan hujah yang kuat.

“Ini dilakukan dengan mencabar orang yang membawa idea-idea menyanggah kitab suci itu untuk memastikan kita melakar ataupun menzahirkan sesuatu yang baik.

“Maka dalam negara kita, dalam hal-hal yang sedemikian sepatut kita pertahankan akhlak dan nilai termasuk dalam keadaan kita berbeda pandangan,” tambahnya.

MTHQK  anjuran Jakim bakal berlangsung selama enam hari bermula hari ini hingga Jumaat dengan melibatkan penyertaan seramai 108 peserta daripada seluruh negeri yang berusia antara 10 hingga 25 tahun.

Secara umumnya, setiap negeri diwakili oleh lapan peserta iaitu dua peserta dalam pertandingan tilawah al-Quran manakala enam peserta dalam pertandingan hafazan al-Quran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI