PUTRAJAYA – Sekretariat Malaysia Everest 2023 (ME2023) memutuskan untuk menyambung misi mencari dan menyelamat (SAR), Muhammad Hawari Hashim menerusi udara selama satu hari lagi.
Ketua Misi ME2023, Azim Afif Ishak berkata, misi itu akan dijalankan esok disertai tiga malim gunung dan seorang jurugambar sebelum ia ditamatkan.
Beliau berkata, pencarian menerusi udara itu dilakukan bagi memenuhi permintaan ahli keluarga dan waris Muhammad Hashim yang kini berada di Kathmandu, Nepal.
“Kami sudah mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa Nepal untuk mengadakan operasi SAR itu yang akan tertumpu di kawasan Kem Dua dan Kem Tiga.
“Operasi SAR ini akan diketuai sekretariat ME2023 selain turut dipantau wakil Malaysia di Nepal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, anggota operasi SAR ini dijangka berlepas ke Lukla, petang ini, dan sekiranya cuaca baik akan memulakan operasi awal pagi esok.
Azim berkata, dua ahli keluarga Muhammad Hawari iaitu adik bongsunya, Mohamad Ismail, 28 dan adik iparnya, Azhar Ilias, 35, berada di Kathmandu bagi mengikut perkembangan terkini misi SAR Muhammad Hawari.
Menurutnya, pihaknya juga sudah memberi penerangan berkenaan perjalanan misi menawan Everest Muhammad Hawari kepada ahli keluarganya itu sehingga pendaki itu dilaporkan hilang.
“Kelmarin, kami juga sudah menyerahkan barangan kelengkapan dan pakaian Muhammad Hawari kepada ahli keluargannya untuk di bawa pulang ke Malaysia,” katanya.
Sebelum ini, Sekretariat ME2023 memutuskan untuk menamatkan SAR menggunakan dron sehari lebih awal selepas alat itu mengalami masalah.
Muhammad Hawari dilaporkan hilang sejak 19 Mei lalu (Jumaat) selepas keluar meninggalkan Kem Empat pada aras ketinggian 8,000 meter dari aras laut.
Sebelum itu, pada Khamis (18 Mei) jam 3.30 petang waktu Nepal Muhammad Hawari dilaporkan berjaya menawan puncak Everest.- KOSMO! ONLINE