MAKKAH – “Jangan bergaduh dan mesti kekal bersama ke mana sahaja. Kami tiada untuk menjaga kamu semua.”
Itu pesanan yang menjadi pegangan lima beradik yang ketika ini berada di Tanah Suci untuk menunaikan haji tanpa ibu bapa mereka.
Mereka ialah Nur Iliana Nasuha Ramlan, 32, Nur Nadirah Nasuha, 29, Ahmad Firdaus Daniel, 27, Nur Maisarah Nasuha dan Nur Saffiyah Nasuha, 18.
Nur Iliana berkata, bapanya, Ramlan Abdul Majid, 60, dan ibu, Khuzaimah Abdul Talib, 58, membuat pesanan itu berkali-kali termasuk sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Katanya, dia gembira kerana dapat menunaikan haji pada usia muda apatah lagi pergi ke Tanah Suci bersama empat adik dan suaminya, Muhammad Nur Syaza Badari, 35.
“Kami tiba di Mekah pada Isnin lalu, ibu dan ayah mendaftarkan nama kami pada tahun 2008. Syukur kami semua dipilih pada tahun ini. Semua urusan dipermudahkan,” katanya ketika ditemui di sini.
Lebih menggembirakan apabila Nur Saffiyah mendapat keputusan 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia Khamis lalu. Keputusan itu diambil oleh ibu bapa mereka.
“Ini kali pertama kami berlima bersama dalam tempoh yang panjang iaitu selama 48 hari. Sebelum ini berkumpul ketika hari raya sahaja,” katanya.
Ibu bapa mereka tidak bersama kerana pernah mengerjakan haji sebelum ini.
Sementara itu, Nur Saffiyah Nasuha berkata, dia sedikit cemas apabila mendapat tahu dapat mengerjakan haji kerana bimbang tidak dapat melakukannya dengan baik.
“Saya berazam untuk menjadi lebih baik daripada sebelum ini dan akan mengelak daripada terpengaruh dengan rakan. Saya tak anggap ia sebagai beban apabila bergelar hajah pada usia muda,” katanya.
Bagi Ahmad Firdaus Daniel, dia berazam untuk solat pada awal waktu selepas ini seperti yang biasa dilakukan oleh bapanya.
“Saya ingin ikut jejak bapa yang selalu ke masjid untuk solat subuh dan maghrib berjemaah. Selain itu saya mahu berubah menjadi lebih baik,” kata pengurus cafe di Raub, Pahang itu.
Lima beradik itu turut membahagikan kepada dua kumpulan ketika tawaf dan saie umrah baru-baru ini dengan diketuai oleh Muhammad Nur Syaza dan Ahmad Firdaus Daniel bagi mengelakkan mereka terpisah.