fbpx

Lembu Thailand, Myanmar tampung bekalan ibadah korban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad (tengah) meninjau jualan sayur-sayuran semasa melawat RTC Tunjong, Kota Bharu hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

KOTA BHARU – Bekalan lembu yang diimport dari Thailand dan Myanmar akan digunakan bagi menampung permintaan umat Islam bagi melaksanakan ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kaedah itu digunakan oleh kerajaan dalam usaha untuk memastikan haiwan ternakan tersebut sentiasa ada dalam pasaran negara.

Menurutnya, pihak kementerian juga sudah menjalankan tinjauan dan tiada rungutan diterima daripada orang ramai mengenai bekalan ternakan lembu ketika ini.

“Ternakan lembu dari luar iaitu Thailand dan Myanmar banyak dibawa masuk ketika ini. Kos untuk mengimport lembu dari negara berkenaan menjadikan harga haiwan tersebut mengalami sedikit peningkatan apabila ia melibatkan kos pengangkutan dan proses kuarantin.

“Bekalan lembu setakat ini masih cukup meskipun harganya tidak menentu. Kebiasaannya, harga lembu ditetapkan mengikut jumlah bekalan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad memberitahu, selain bekalan lembu, kerajaan turut memberi jaminan bekalan bahan mentah lain mencukupi sepanjang Hari Raya Aidiladha nanti.

Katanya, orang ramai juga diharapkan supaya tidak membuat pembelian panik menjelang perayaan tersebut.

Sementara itu, Mohamad berkata, kerajaan akan menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta untuk menyediakan bilik sejuk beku di RTC Tunjong dalam usaha mengukuhkan bekalan makanan negara.

Katanya, bilik sejuk itu secara tidak langsung dapat menyimpan stok makanan apabila berlaku lambakan hasil.

“Selain itu, peruntukan sebanyak RM200,000 akan diluluskan bagi menaik taraf medan pemborongan kuih tradisional di sini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI