fbpx

Lelaki diberkas beli iPhone guna resit palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUSPEK lelaki yang ditahan polis kerana menggunakan resit palsu untuk membeli telefon bimbit jenis iPhone 14 Pro Max di sebuah kedai di Kulai.

KULAI – Seorang lelaki ditahan selepas disyaki menggunakan resit palsu untuk membeli telefon bimbit iPhone 14 Pro Max di sebuah kedai yang beralamat di Jalan Kenanga 29/9, Indahpura, di sini kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Yusof Othman berkata, suspek warga tempatan berusia 24 tahun itu ditahan di sebuah pasar raya di Taman Sutera Utama, Skudai, pada pukul 2 petang, semalam.

Menurut beliau, pemeriksaan dibuat mendapati suspek turut mempunyai lima rekod jenayah lampau.

“Pengadu yang bekerja di premis telefon bimbit berkenaan memaklumkan didatangi seorang lelaki yang mahu membeli sebuah telefon bimbit berharga RM7,350.

“Suspek telah meyakinkan pengadu dengan membuat pembayaran deposit sebanyak RM500, sebelum menunjukkan resit pembayaran atas talian bernilai RM6,850 sebagai baki bayaran telefon bimbit berkenaan.

“Kerana mempercayai mangsa, pengadu hanya mengambil butiran nama dan nombor telefon suspek sebelum menyerahkan telefon bimbit berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Yusof, pengadu hanya sedar telah ditipu suspek setelah membuat semakan terhadap akaun syarikat dan mendapati tiada sebarang pembayaran diterima daripada jual beli berkenaan.

“Susulan itu, suspek ditahan dalam operasi dijalankan, manakala beberapa barangan dirampas termasuk sebuah telefon bimbit jenis iPhone 14 Pro Max, dan sebuah lagi telefon bimbit palsu jenis sama, beserta pakaian, topi dan kasut milik suspek.

“Sehubungan itu, suspek direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI