MEKAH – Seorang lelaki dari Kerala mengambil masa lebih setahun, iaitu kira-kira 370 hari untuk berjalan kaki dari negerinya di India ke kota suci Mekah, lapor laman berita India Today semalam.
Bagi Shihab Chottur, perjalanan yang menjangkau jarak sejauh 8,640 kilometer (km) itu membawanya melalui Pakistan, Iran, Iraq, Kuwait dan akhirnya Arab Saudi dengan hanya berjalan kaki.
Shihab yang berasal dari Valancherry di daerah Malappuram telah memulakan perjalanan maratonnya ke Arab Saudi untuk menunaikan haji pada 2 Jun 2022 sebelum tiba di Mekah bulan ini.
Selepas memasuki Arab Saudi, dia pergi ke Madinah dan menghabiskan masa selama 21 hari sebelum berangkat ke Mekah.
Shihab menempuh jarak perjalanan sejauh 440 km antara Madinah dan Mekah dalam masa sembilan hari dan akan menunaikan haji selepas ibunya, Zainaba, tiba dari Kerala.
Lelaki itu juga mengendalikan saluran YouTube miliknya sendiri dan sentiasa memaklumkan kepada penontonnya tentang perjalanannya dari negeri selatan India ke kota suci Mekah.
Shihab menghadapi halangan pertamanya apabila dihalang oleh pihak imigresen Pakistan kerana dia tidak mempunyai visa.
Dia terpaksa menunggu selama berbulan-bulan di sebuah sekolah di Wagah untuk mendapatkan visa transit. Pada Februari 2023, Shihab berjaya mendapatkan visa transit serta memasuki Pakistan dan menyambung semula perjalanannya ke Arab Saudi selepas terhenti seketika. – Agensi