fbpx

Irfan Haris 4 kali bertukar label rakaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IRFAN HARIS

BIARPUN baru berusia 22 tahun, namun penglibatannya dalam dunia seni hiburan sebagai penyanyi sudah boleh dianggap matang.

Selama lapan tahun bergelar anak seni, pemilik nama pentas Irfan Haris sudah mula meniti karier sebagai penghibur selepas memasuki pertandingan Idola Kecil terbitan TV9 dan Cerita Popstar (Astro).

Tempoh tersebut turut menyaksikan kegigihan anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu berusaha sendiri untuk meniti populariti dan mencipta nama sebagai salah seorang penyanyi lelaki yang boleh dibanggakan.

Ternyata, perjalanan pemuda tinggi lampai itu tidak mudah seperti yang disangka apabila adakalanya langkah yang diatur menyebabkan dirinya hampir tersungkur.

Enggan menyalahkan mana-mana pihak, jauh sekali takdir, Irfan menganggap jatuh bangun seseorang anak seni itu sebagai lumrah kehidupan.

Sepanjang kerjayanya sebagai penyanyi, Irfan sudah empat kali bertukar ‘rumah’. Mungkin pada pandangan mata orang lain, penyanyi itu mungkin mempunyai masalah dengan label yang menguruskan perjalanan seninya sebelum ini.

Bagaimanapun, Irfan menafikan mempunyai masalah dengan ‘majikan’ sebelumnya rentetan kerap bertukar syarikat rakaman.

“Saya tidak mempunyai masalah dengan label pengurusan sebelum ini.

“Tujuan saya bertukar-tukar label rakaman kerana kontrak yang sudah tamat.

“Selain itu saya juga mahu pastikan lembaran kerjaya seni saya berkembang. Saya tidak mahu terlalu bersenang dalam zon selesa,” kata pemilik nama lengkap Irfan Haris Othman itu.

lapan tahun dalam dunia nyanyian, Irfan Haris mahu momentum karier terus stabil apatah lagi kini bernaung bawah label muzik EMI yang baru diberi penjenamaan semula.

Tambah penyanyi dengan imej ‘kening tebal’ itu lagi, dia juga suka bekerja dalam suasana baharu untuk menimba pengalaman yang tidak pernah dimiliki sebelum ini.

“Saya gemar bekerja dalam suasana berbeza dan dengan persekitaran baharu. Dengan itu saya dapat memperbaiki diri saya dengan penampilan yang lebih segar,” ujarnya yang kini berteduh bawah syarikat rakaman EMI Music Malaysia.

Masih mengekalkan semangat yang sama, Irfan berjanji akan bekerja keras untuk melakar prestasi cemerlang dalam bidang muzik, setanding dengan penyanyi ternama sedia ada.

“Saya akan bekerja 110 peratus untuk capai tahap tertinggi yang saya inginkan. Saya akui masih belum mampu untuk berdiri sendiri.

“Jauh di sudut hati, saya juga mahu nama saya berdiri sama hebat dengan penyanyi lain seperti Ismail Izzani, Iman Troye dan Naim Daniel,” ujar pemegang Diploma Seni dan Budaya dari UOW Malaysia KDU University College itu.

Berkongsi perubahan yang bakal ditampilkan untuk memberi rasa segar kepada pendengar, Irfan menyimpan hasrat untuk memberi kelainan pada genre muzik yang bakal ditampilkan tidak lama lagi.

“Saya bakal lancarkan single baharu nanti. Sebagai kelainan, saya cuba suntik sedikit elemen muzik ala ‘seberang’ untuk memikat hati pendengar tempatan.

“Bukan setakat untuk menarik halwa telinga peminat di Malaysia, saya juga berharap bakat saya ini dapat dikembangkan ke Indonesia suatu hari nanti.

“Saya masih mengekalkan kekuatan muzik saya iaitu balada, cuma sentuhannya nanti akan diberi kesegaran supaya dapat menembusi pasaran antarabangsa (Indonesia),” ujarnya semangat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI