Masyarakat Melanau merupakan salah satu etnik di Sarawak yang sarat dengan budaya dan adat tersendiri.
Maka tidak hairanlah gadis Pesona Ahad minggu ini, Iman Annemarie Sulaiman, 24, yang merupakan anak kacukan Melanau-Eurasia berhasrat mahu mengangkat budaya tersebut ke seantero dunia.
Kepada wartawan Kosmo! Ahad, graduan Sarjana Polisi Awam, Universiti Bristol, United Kingdom ini berkongsi mengenai diri dan impiannya.
Kosmo! Ahad: Boleh ceritakan kenapa pilih bidang polisi awam?
Iman: Saya rasa bidang ini memerlukan belia dalam membentuk sesebuah polisi antaranya perubahan iklim, hak wanita dan kanak-kanak, hubungan luar dan lain-lain bagi mencapai kesejahteraan sejagat. Suara belia adalah suara untuk masa depan.
Apa istimewanya Melanau?
Etnik Melanau mempunyai hari istimewa iaitu sambutan Kaul bagi menghargai semangat seperti semangat tanah, hutan, laut dan kebun. Setiap tahun ia disambut meriah di Mukah.
Iman juga aktif dalam Persatuan Melanau Kuching? Ceritakan.
Saya menyertai persatuan itu kerana berhasrat untuk membangunkan komuniti ini ke tahap lebih baik. Tidak ramai yang mahu memelihara budaya ini berbanding etnik lain sehingga mampu bertahan 100 ke 200 tahun lagi.
Selepas pulang ke Malaysia, apa perancangan Iman?
Selain mencari kerja, saya turut terlibat sebagai pembantu seminar perniagaan dan keusahawanan yang dikendalikan bapa. Dia merupakan ahli perniagaan dan pensyarah kolej swasta di Kuching.
Apakah aktiviti kegemaran Iman?
Saya suka melakukan aktiviti fizikal lasak seperti mendaki dan seni mempertahankan diri iaitu muay thai kerana ‘kena’ (serasi) dengan jiwa saya.
Apa cita-cita Iman?
Saya menyimpan impian untuk menyertai Kementerian Luar Negeri dan bergelar seorang diplomat suatu hari nanti.
Pengalaman yang tidak dapat dilupakan di luar negara?
Saya pernah disalah anggap sebagai gadis Cina yang mana peristiwa tersebut berlaku ketika saya membuat tempahan makanan secara dalam talian. Pemandu itu bercakap dalam bahasa Mandarin yang bermaksud ‘apa khabar’, namun saya memaklumkan kepadanya saya bukan gadis Cina.