KUANTAN – Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan di sini bakal menjadi hospital pertama di Pantai Timur yang menyediakan pusat latihan bagi Program Latihan Kepakaran (PLK) Perkhidmatan Perubatan Sukan.
Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, penubuhan pusat latihan terbabit kini dalam peringkat kertas kerja bagi mendapatkan pengiktirafan daripada pihak pakar Universiti Malaya (UM) yang akan diperolehi awal tahun hadapan.
Katanya, setakat ini terdapat sebuah universiti iaitu Universiti Malaya (UM) dan tiga buah hospital di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) yang menyediakan pusat latihan bagi melahirkan pakar dalam perkhidmatan perubatan sukan.
“Selain UM terdapat tiga hospital yang menyediakan pusat latihan ini iaitu Hospital Tuanku Jaafar Seremban, Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.
“Sebaik sahaja HTAA mendapat pengiktirafan, pusat latihan ini akan dibuka untuk memberi latihan kepada pakar yang akan keluar nanti sekali gus menjadikan ianya sebagai pusat latihan kelima di Malaysia dan yang pertama di Pahang,” katanya selepas menyempurnakan program 1st National Clinical Exercise Testing Symposium (NACETS) 2023: An Introduction to Cardiopulmonary Exercise Testing (CPET) di bangunan Klinik Pakar, HTAA, di sini semalam.
Nor Azimi berkata, sejak unit perubatan sukan ditubuhkan di HTAA dengan menempatkan dua pakar perubatan sukan pada 2021 terdapat peningkatan sekitar lima peratus pesakit yang mendapatkan perkhidmatan di unit terbabit.
“Golongan pesakit yang mendapatkan perkhidmatan ini, 90 peratus darinya adalah populasi masyarakat umum dan hanya 10 peratus merupakan golongan atlet.
“Ini bermaksud, perkhidmatan perubatan sukan ini sudah mula dikenali sekali gus memberi impak bahawa unit tersebut mempunyai signifikan di negeri ini khususnya,” katanya.-KOSMO! ONLINE