SEBERANG PERAI – Polis mengeluarkan saman terhadap kesemua pemandu kereta mewah yang dipercayai menghalang laluan di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah atau Jambatan Kedua, selepas tular satu video di media sosial, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Deputi Superintenden Mohd. Norazmi Abd. Ghapar berkata, pihaknya terkesan dengan rakaman video berdurasi dua minit 50 saat itu yang dimuat naik ke dalam akaun Tik Tok milik seorang pengguna atas nama ‘panglimaperang’ kira-kira pukul 9 malam kelmarin.
Beliau berkata, rakaman tersebut menunjukkan deretan kereta mewah dipandu secara perlahan dan menghalang lalu lintas seperti yang didakwa.
“Siasatan lanjut mendapati, kejadian berlaku pada 9 Jun (Jumaat) kira-kira pukul 12.30 tengah hari bermula dari KM (Kilometer) 3.8 dari arah Batu Kawan sehingga KM9.0 arah ke Batu Maung.
“Polis mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut dan kertas siasatan juga telah dibuka di bawah Kaedah Lalu Lintas 1959 iaitu Kaedah 16 (1) LN 167/59 kerana melakukan halangan lalu lintas,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Bagaimanapun, kata Mohd. Norazmi, kira-kira pukul 12.10 tengah malam semalam, kesemua pemandu yang berkenaan telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPS untuk memberikan keterangan dan telah dikenakan saman. – KOSMO! ONLINE