MANCHESTER – Sekalipun mungkin hilang kedudukan dan mempertaruhkan masa depannya dalam pasukan, Harry Maguire sanggup untuk terus kekal di Manchester United berbanding menyertai kelab lain pada jendela perpindahan kali ini.
Sejak dilatih Erik Ten Hag, Maguire tidak lagi menjadi pilihan utama dengan pengendali dari Belanda itu lebih mempercayai gandingan Lisandro Martinez dan Raphael Varane selain gemar menggunakan Victor Lindelof serta Luke Shaw.
Musim lalu, Maguire hanya diturunkan dalam lapan perlawanan dan situasi mungkin akan bertambah sukar memandangkan The Red Devils kini sedang mengintai peluang untuk mendapatkan khidmat bintang Napoli, Kim Min-Jae.
Walaupun berjaya menarik minat Tottenham Hotspur dan bakal memberi suntikan modal buat United untuk mendapatkan Min-jae, Maguire cuba mengambil pendekatan berbeza, malah dilaporkan bersedia untuk kembali merebut tempat dengan rakan sepasukan lain.
“Maguire berdepan persaingan hebat daripada Raphael Varane dan itu sudah menggambarkan segala-galanya. Tiada siapa yang gembira apabila berdepan situasi ini namun dia masih lahi sentiasa berlatih dengan bersungguh-sungguh,” jelas Ten Hag berkenaan kedudukan Maguire sebelum ni.
Bagaimanapun, berdasarkan laporan yang dikeluarkan, United seakan mahu mengeluarkan Maguire daripada pasukan hingga sanggup memberikan £10 juta jika pemain berkenaan meninggalkan kelab pada musim panas kali ini.
Selain tidak berpeluang kekal di pertandingan kompetitif, kesukaran untuk mendapat tempat juga akan memberi risiko kepada masa depan Maguire bersama skuad kebangsaan England sehinggakan situasi itu mendapat perhatian pengendali The Three Lions, Gareth Southgate. – AGENSI