IPOH – Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Nga Kor Ming, menyifatkan parti itu sudah pun menjalin kerjasama yang baik dengan UMNO untuk menjaga kestabilan politik negara.
Kor Ming berkata, pihaknya sudah pun melupakan persengketaan dengan UMNO dan mengukuhkan lagi hubungan atas dasar kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
“Kita dah ‘move on’ (teruskan) dan sekarang fokus utama kita adalah bagaimana untuk bantu UMNO dan UMNO membantu DAP demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan politik negara,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Menurutnya, partinya akan membantu UMNO sehabis baik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Kita akan membantu UMNO dengan sehabis baik dalam PRN akan datang dan seperti yang diperkatakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, di mana kesemua 19 parti yang berada dalam kerajaan persekutuan akan bersatu hati mempertahankan kerajaan yang ada pada hari ini.
“Saranan saya kepada semua pihak adalah kita perlu berada dalam landasan yang betul mengikut titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya. – KOSMO! ONLINE