ARENA olahraga negara kembali menjadi tumpuan ramai apabila atletnya disahkan positif ujian doping mengambil bahan terlarang jenis sibutramine.
Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) memaklumkan sampel atlet olahraga berkenaan diambil semasa pengujian kawalan doping dalam pertandingan sewaktu Kejohanan Trek dan Balapan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) 2023 pada Februari lalu.
Pengesahan keputusan dari Makmal Anti-Doping di Doha, Qatar (ADLQ) bagi analisis sampel atlet berkenaan menemui bahan terlarang dalam kelas S.6 Stimulants- sibutramine yang disenaraikan oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).
Menerusi satu kenyataan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), atlet itu akan digantung sementara daripada menyertai sebarang kejohanan atau pertandingan lain sehingga proses pendengaran diumumkan nanti.
“Dalam tempoh ini, atlet berkenaan akan diberi peluang mempertahankan diri dan memberikan sebarang bukti untuk menyokong pembelaannya. Keseluruhan proses akan dijalankan dengan telus dan mengikut peraturan anti-doping yang ditetapkan.
“Setiap atlet harus bertanggungjawab sepenuhnya terhadap bahan dalam sampel urin dan/atau darah mereka semasa pengujian kawalan doping sama ada secara sengaja atau tidak menggunakan bahan atau kaedah terlarang.
“Adalah penting atlet dan Kakitangan Sokongan Atlet mengetahui peraturan serta memahami tanggungjawab mereka. Pihak ADAMAS akan mengambil tindakan selanjutnya berdasarkan Peraturan WADA 2021 dan Piawaian Antarabangsa untuk Pengurusan Keputusan (ISM),” menurut kenyataan itu.
Sebagai rekod, sibutramine kebiasaannya terkandung dalam pil menguruskan badan kerana ia dikatakan mampu memberi kesan mendadak dengan penurunan berat badan